comscore
Tumpuan :
Politik

BN kemuka permohonan penangguhan menghadap Yang di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) memaklumkan telah mengemukakan permohonan bagi menangguhkan sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, , Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Perkembangan itu dimaklumkan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon yang ditemui selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Ibu Pejabat UMNO dekat Menara Dato Onn di sini, malam tadi.

Datuk Seri M Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata, permohonan itu telah dikemukakan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, selain memaklumkan belum menerima sebarang keputusan berhubung perkara itu.

Beliau berkata, BN juga belum membuat sebarang keputusan berhubung sokongan terhadap mana-mana gabungan parti politik bagi membentuk kerajaan Persekutuan, selain memaklumkan BN kekal dengan pendiriannya untuk berkecuali dan sedia menjadi pembangkang di Dewan Rakyat.

“Pelbagai perkara diteliti dalam mesyuarat malam tadi, antaranya kedudukan parti tetapi kita belum memutuskan untuk menyokong mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan Persekutuan,” katanya di sini.

Mengetengahkan pendirian sama, Sin Woon berkata, terpulang kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memaklumkan perkembangan lanjut berhubung mesyuarat yang berlangsung malam tadi.

“Kita juga tidak menandatangani sebarang akuan bersumpah (SD) bagi tujuan demikian, selain parti telah memohon penangguhan (sembah mengadap Yang di-Pertuan Agong), biarkan Pengerusi BN maklumkan (perkembangan lanjut),” katanya.

Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula berkata: “Bukan amalan kita bercerita pada khalayak. Sama ada (nak) mohon penangguhan (menghadap) atau tidak, anda akan tahu hari ini,”.

Terdahulu malam tadi, BN mengadakan dua mesyuarat berasingan dipercayai bagi memuktamadkan sokongan kepada gabungan parti politik yang mungkin membentuk kerajaan Persekutuan.

Kedua-dua mesyuarat itu, masing-masing mesyuarat Dewan Tertinggi BN dan mesyuarat bersama Ahli Parlimen gabungan berkenaan.

Sementara itu, beberapa pimpinan parti komponen BN turut menegaskan gabungan berkenaan kekal dengan pendirian tidak menyokong mana-mana pihak bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Antaranya ialah Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Loading...
Terkini