comscore
Tumpuan :
Politik

BN pertaruh 63 peratus muka baharu

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional menampilkan 108 calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, 12 Ogos ini.

Menurut Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, gabungan itu menampilkan sebanyak 63 peratus calon muka baharu, dengan hanya 18 peratus dalam kalangan penyandang.

“Sementara 20 peratus lagi terdiri daripada mereka yang pernah bertanding, tetapi mahu menawarkan diri mereka semula.

“Ia sebagai bukti kesinambungan muka baharu dan lama, kita juga tidak lupakan calon wanita, di mana cukup ramai calon dalam kalangan itu. Begitu juga pemuda dan bekas pemuda dan puteri,” katanya pada Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional Pilihan Raya Negeri ke-15, di sini, malam ini.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, BN turut menampilkan sebanyak 87 peratus calon yang memiliki kelayakan akademik di peringkat pengajian tinggi.

Pengumuman malam ini menyaksikan BN menampilkan calon daripada UMNO berikutan parti komponennya MIC dan MCA mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada 12 Ogos ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos, penamaan calon pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

PRN 2023 ini membabitkan 36 DUN di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32); Pulau Pinang (40); Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

Loading...
Terkini