comscore
Tumpuan :
Politik

Dakwaan Abdul Hadi itu cerita zaman bila.. – Rafizi

ISKANDAR PUTERI: PKR menafikan dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, kononnya parti itu ditawar menyertai Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, perkara itu tiada dalam dan tidak pernah berbangkit.

“Saya tak pernah dengar perkara (tawaran PAS sertai kerajaan Perpaduan) itu.

“Sebenarnya ada tiga orang yang banyak rundingkan mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Saya tak tahu dakwaan Abdul Hadi itu cerita zaman bila, namun apa boleh saya katakan, sepanjang terbabit dalam pembentukan kerajaan malah sehingga sekarang, saya tidak tahu langsung perkara ini kecuali ada pihak lain buat tawaran, wallahua’lam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMK12) bersama Kerajaan Johor di sini, hari ini.

Semalam, Abdul Hadi dilaporkan mendakwa beberapa orang pihak kerajaan menghubunginya untuk menawarkan PAS menyertai Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Abdul Hadi dilaporkan mendakwa, tawaran itu muncul kerana Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR menyedari kedudukannya tidak kukuh, apatah lagi jumlah kerusi Melayu parti berkenaan tidak sebanyak PAS.

Mengulas dakwaan kedudukan PKR tidak kukuh, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, itu hanyalah pendapat Presiden PAS itu.

“Itu pendapat dia namun perlu diingat Perdana Menteri daripada PKR dan kita adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“Dia (Abdul Hadi) pun pernah kata macam-macam sebelum ini, jadi jika setakat dia kata PKR tak kukuh itu kira baiklah,” katanya.

Dakwaan Abdul Hadi itu turut dinafikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang meminta PAS supaya tidak memasang impian menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang memegang tampuk pentadbiran negara ketika ini.

Loading...
Terkini