comscore
Tumpuan :
Politik

Dominasi Golongan Majoriti Bukan Rasis – PAS

Datuk Seri Takiyuddin Hassan. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: PAS berpandangan konsep dominasi politik golongan majoriti dalam sesebuah negara bukan sesuatu yang rasis dan tidak adil.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata konsep itu adalah lumrah penerimaan umum di mana-mana negara di dunia.

“PAS juga yakin usaha menjayakan gagasan perpaduan ummah turut akan lebih mudah dicapai apabila semua parti utama Melayu Islam dan Bumiputera dalam negara ini dapat berlapang dada.

Semua parti terbabit perlu berjiwa besar dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini dengan melihat kepentingan yang lebih besar iaitu kestabilan negara dan kebahagiaan rakyat jelata,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mengenai PRU-15 yang akan diadakan dalam waktu terdekat, Takiyuddin berkata, seluruh jentera pilihan raya PAS diminta supaya bersiap sedia sepenuhnya.

Katanya, sebagai sebuah parti politik yang berteraskan Islam, seluruh pimpinan dan ahli serta penyokong PAS juga dikehendaki terus menjaga adab dan kesopanan seperti mana yang diajar oleh agama Islam.

“Ini termasuk dalam segala hantaran (posting) mahupun artikel di media sosial yang boleh menimbulkan kebencian dan fitnah memfitnah termasuk terhadap lawan politik wajib dielakkan sama sekali.

“Perlu diingat bahawa Perlembagaan PAS menetapkan semua ahli PAS antara lainnya perlu sepanjang masa mengamal akhlak Islam serta sentiasa mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan parti,” katanya.

Beliau berkata, perbuatan seumpama itu adalah suatu kesalahan tatatertib yang boleh diambil tindakan sewajarnya.

PAS sebelum ini dilaporkan akan terus berusaha memujuk Barisan Nasional (BN) untuk bersama-sama dalam penyatuan ummah bagi berdepan (PRU-15) di peringkat Parlimen.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata parti itu mahu ketiga-tiga parti berteraskan Melayu bersatu pada PRU akan datang.

Konsep penyatuan ummah dicadangkan PAS itu termasuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini