comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Jangan guna lambang parti ketika salur bantuan kerajaan – PM

JOHOR BAHRU : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan sebarang bentuk penyaluran bantuan kerajaan kepada rakyat sepanjang tempoh berkempen, termasuk pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram tidak boleh menggunakan lambang parti.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata perkara itu juga telah dibincangkan bersama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Ada berbangkit tentang penyaluran bantuan-bantuan kerajaan kepada rakyat, lambang parti tidak boleh digunakan. Ini telah diamalkan Perikatan Nasional (PN) dahulu dan saya percaya ada juga satu dua kes berlaku dalam Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di Majlis Kenduri Rahmah dan Penyerahan 1000 Bakul Rahmah di Taman Dahlia, Kempas Johor, hari ini. – Foto: NSTP

“Arahan kita perkara ini (guna lambang parti), tidak boleh kerana bantuan kerajaan harus disalur atas nama kerajaan,” katanya selepas menghadiri Majlis Kenduri Rahmah dan Penyerahan 1,000 bakul Rahmah di Dataran Taman Dahlia di sini hari ini.

Esok akan berlangsung penamaan calon bagi PRK berkenaan  dengan tarikh pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pada 9 September.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, usaha bekas Menteri KPDN, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub memperkenalkan inisiatif Payung Rahmah ternyata membantu meringankan beban rakyat.

“Jadi kerajaan ini, kita fikirkan (inisiatif yang baik untuk rakyat), bukan hendak bergaduh, maki hamun orang ,bukan cerca orang, bukan gaduh sesama kaum dan parti, tidak.

“Bila jadi (kerajaan yang pikul) amanah, itu yang kita buat. Contoh Salahuddin sudah lama dalam politik, tetapi apabila beliau pegang jabatan (KPDN) tumpuan kerja laksanakan amanah, mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.

“Moga contoh ini dapat diteruskan, kuatkan kerajaan dengan maksud beri khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.

 

 

Loading...
Terkini