comscore
Tumpuan :
Politik

Kemenangan Ahmad Samsuri diharap reda suhu politik – Anwar

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kemenangan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu diharap dapat meredakan bahang suhu politik negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mahu Ahli Parlimen Kemaman baharu itu menjalankan tugas dengan baik demi negara.

“Saya ucap tahniah kepada Ahmad Samsuri di atas kemenangan itu dan mudah-mudahan dia dapat jalankan tugas baik dan juga dari segi negara, dia akan memberikan sekurang-kurangnya sedikit kelegaan kerana imej yang sederhana daripada sikap pimpinan PAS yang nampak jauh lebih ekstrem dan mudah-mudahan akan dapat meredakan suhu politik yang terlalu panas,” katanya.

Anwar ditemui selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2023, di sini hari ini.

Pada PRK Parlimen Kemaman Sabtu lalu, Ahmad Samsuri menang dengan majoriti 37,220 setelah memperoleh 64,998 undi, menewaskan pesaingnya, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dari Barisan Nasional (BN) meraih 27,778 undi.

Ditanya berhubung kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa parti itu dikatakan masih jauh daripada berjaya dalam usahanya untuk mengembalikan semula kepercayaan orang Melayu kepada UMNO susulan kekalahan di PRK berkenaan, Anwar kurang bersetuju dengan kenyataan tersebut.

Beliau merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, peratusan undi diperoleh PAS sedikit susut berbanding sebelumnya.

“Semalam kita ada mesyuarat di antara PH dan pimpinan UMNO dan saya puas hati kerana nampak mereka (UMNO) kerahkan jentera untuk ke akar umbi,” katanya.

Semalam, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan dilaporkan berkata, tugas mengembalikan kepercayaan bangsa Melayu ke pangkuan UMNO ketika ini adalah tugas sukar, tetapi bukan mustahil.

Namun, buat masa ini, katanya, UMNO mesti menerima realiti bahawa orang Melayu masih jauh daripada mempercayainya sebagai wakil politik mereka yang berkesan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini