comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK Kemaman: Pengundi setia UMNO tidak keluar mengundi punca kekalahan BN 

Datuk Seri Ahmad Zahid ditemui media sempena Majlis peluncuran Transformasi Politeknik 2023-2030 di Putrajaya sebentar tadi.

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

PUTRAJAYA: Kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil, PRK Kemaman bukan kerana peningkatan undi yang diperolehi Pas.

Sebaliknya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia berpunca daripada pengundi setia UMNO yang tidak keluar mengundi pada hari berkenaan.

“Kita melihat penurunan peratusan keluar pengundi setia bagi PRK Kemaman sekitar 10,000 orang. Tidak ada peningkatan sokongan kepada calon Pas tapi terdapat kekurangan sokogan pengundi putih BN dan sebab itu apabila hanya 68.3% sahaja pengundi-pengundi putih UMNO yang keluar mengundi maka ianya telah menyumbang kepada majoriti yang bertambah kerana undi kita tidak keluar”, katanya.

Datuk Seri Ahmad Zahid ditemui media sempena majlis peluncuran Transformasi Politeknik 2023-2030 di Putrajaya sebentar tadi.

Dalam pada itu, Datuk Seri Ahmad Zahid turut menemplak kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan semalam yang mendakwa majoriti 37,000 undi yang dimenangi Pas di Kemaman sebagai referendum ketidaksetujuan orang ramai terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana kawasan Kemaman tidak mewakili keseluruhan suara rakyat negara ini.

“Kita tidak boleh menganggap itu referendum (rakyat) kerana ia hanya terdiri daripada kawasan kecil di Kemaman. “Bagaimana 141,000 pengundi di Kemaman boleh dianggap sebagai referendum? Kita harap mereka tidak bermimpi di siang hari”.

PRK Kemaman Sabtu lalu menyaksikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang dengan majoriti 37,220 undi hasil kiraan daripada keseluruhan 249 peti undi.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu mendapat 64,998 undi manakala lawannya calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mendapat 27,778 undi.

| ARTIKEL BERKAITAN

 

Loading...
Terkini