comscore
Tumpuan :
Politik

Pemilihan semula UMNO Bahagian Johor Bahru akan diambil alih

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

JOHOR BAHRU: Pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru yang ditangguh dan digantung sejak 18 Mac lalu, akan diambil alih UMNO Johor.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Setiausaha UMNO Johor yang baharu dilantik, Datuk Abdul Halim Suleiman, diberi tanggungjawab mengendalikan pemilihan bahagian terbabit.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, UMNO Johor sememangnya mahu pemilihan semula UMNO Bahagian Johor Bahru, dilakukan segera.

“Namun kita akur ketika ini adalah bulan Ramadan, yang mungkin menjejaskan kehadiran perwakilan.

“Kita mahu jika boleh semua perwakilan hadir pada mesyuarat bahagian dan pemilihan itu nanti supaya tidak berlaku ‘rumah siap, pahat berbunyi’.

“Pemilihan semula ini bukan seperti bahagian lain yang hanya membabitkan ketua bahagian sahaja, kerana UMNO Bahagian Johor Bahru ini membabitkan juga pemilihan keseluruhan jawatankuasa bahagian.

“UMNO Johor juga tidak mahu pemilihan semula ini diadakan secara tergesa-gesa. Oleh itu, perbincangan rapi perlu dilakukan kerana kita tidak mahu hanya segelintir ahli yang datang pada pemilihan semula nanti,”

katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat UMNO Johor, di Bangunan Perhubungan UMNO, di sini, hari ini.

Pada 18 Mac lalu, proses pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru ditangguh dan digantung selepas berlaku dakwaan bahawa kertas undi melebihi daripada jumlah perwakilan yang hadir.

Keputusan itu dibuat Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Johor Bahru, Azmi Samin selepas dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Bahagian Johor Bahru, Sonawan Mad Som.

Jawatan Ketua Bahagian itu menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah dan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar.

Loading...
Terkini