comscore
Tumpuan :
Politik

Pentadbiran PN akan bersikap adil terhadap ADUN pembangkang – Sanusi

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah baharu yang kekal ditadbir Perikatan Nasional (PN) akan memastikan untuk terus bersikap adil terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang, kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu turut memberi jaminan tidak akan menganiaya sesiapa pun sesuai dengan ajaran Islam.

“Kepada rakan-rakan dalam PH dan Barisan Nasional (BN), saya berjanji bahawa kerajaan negeri tidak akan menganiaya sesiapa. Kita akan berlaku adil dan berkasih sayang, kaya dengan sifat ihsan seperti mana dituntut Allah SWT.”

“Seperti junjungan besar Nabi Muhammad SAW bawa kepada kita, Islam menjadi pedoman untuk kita bernegara dan melaksana kerja,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS Kedah di sini selepas PN mencapai kemenangan dalam pilihan raya negeri (PRN) malam tadi.

PN menang besar di Kedah sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga selepas memenangi 33 daripada 36 kerusi DUN.

Baki tiga kerusi lagi dikuasai PH iaitu Kota Darul Aman melalui DAP, selain Sidam dan Bakar Arang melalui PKR.

Ditanya faktor kemenangan 33 kerusi, Sanusi yang dijangka mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah bagi penggal kedua, berkata serangan berlebihan PH-BN akhirnya ‘memakan diri’.

“Rakan-rakan yang berada di Kedah dalam PH-BN seolah-olah membutakan mata, memekakkan telinga mereka terhadap percapaian yang telah dibuat dalam tiga tahun ini, telah dihukum oleh rakyat.”

“Sebenarnya rakyat nampak, pasai apa hangpa tak nampak,” katanya lagi.

Beliau juga memaklum memerlukan sedikit masa bagi penyusunan barisan pentadbiran kerajaan negeri.

“Penyusunan kerajaan akan ditentukan oleh parti, tak boleh buat apa-apa komen malam ini, kalau wartawan tanya pun.. tunggu sat dulu.”

“Saya juga memerlukan sokongan dan dokongan semua untuk meneruskan saki baki perjuangan yang bersabit daripada pilihan raya ini iaitu beberapa kes mahkamah dan saman ratusan juta.”

“Kita juga tidak akan menyerah begitu saja, apa sahaja yang dihadapkan kepada kita di depan dengan keyakinan seluruh rakyat, kita hadapi apa sahaja rintangan melanda,” katanya.

Sanusi juga berharap wakil rakyat yang dipilih dapat menunaikan tanggungjawab dan janji serta menjauhi amalan negatif yang menjadi kebencian rakyat.

Loading...
Terkini