comscore
Tumpuan :
Politik

Pertemuan pemimpin tertinggi BN Pahang petang ini

 

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Hassan Ariffin (kanan) menunggu di kafe sebuah hotel di Kuala Lumpur, sebentar tadi, sebelum mesyuarat bermula. Foto NSTP/Azlan Hadi Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) Pahang termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu mengadakan pertemuan di sebuah hotel terkemuka di Jalan Ampang, petang ini.

Pertemuan dipercayai bagi membincangkan senario politik negeri itu berkaitan jalinan kerjasama BN dengan Pakatan Harapan (PH) ataupun Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan negeri Pahang.

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang dikatakan akan diangkat sekali lagi sebagai Menteri Besar negeri itu dipercayai hadir lebih awal, kira-kira jam 3 petang.

Pemimpin lain yang hadir adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Hassan Ariffin dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Antara Ahli Parlimen BN hadir adalah Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Lipis). Beliau sebelum ini adalah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Turut kelihatan, bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said yang juga bekas Menteri Dalam Negeri 1.

Hassan dan Ismail yang ditemui BH di pekarangan lobi hotel berkenaan berkata mereka tidak tahu tujuan pertemuan itu diadakan.

ADUN Dong daripada BN, Fadzli Mohamad Kamal ketika dihubungi BH pula berkata, beliau tidak ada maklumat berhubung pertemuan yang berlangsung di ibu kota, petang ini.

Buat pertama kali dalam sejarah, tiada parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memperoleh majoriti mudah sehingga kerajaan negeri itu tergantung.

Percaturan (BN) untuk mendapat lebih besar dengan sekurang-kurangnya 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU15 kali ini tidak kesampaian.

Parti itu yang mentadbir kerajaan negeri sebelum ini hanya menang 16 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan manakala PN mendahului 17 kerusi dan PH hanya lapan kerusi.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini