comscore
Tumpuan :
Politik

PRK Pelangai: Keputusan dijangka diumum 9 malam ini

Petugas SPR dan anggota PDRM menutup pagar tepat jam 6 petang di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Felda Kemasul sempena PRK N36 Pelangai.

Oleh: Fazli Ahmad

BENTONG: Semua peti undi dari sembilan pusat pengundian membabitkan 30 saluran dibawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul di sini, sebelum keputusan rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pelangai diumum, yang dijangka pada jam 9 malam ini.

Terdahulu, semua sembilan pusat pengundian ditutup tepat jam 6 petang tadi.

Tiga pusat  pengundian terletak di kawasan Felda iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi, Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kemasul dan SK (Felda) Sungai Kemahal.

Enam lagi ialah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Telemong, SMK Seri Pelangai, SK Pelangai, SKJC Manchis, Dewan Serbaguna Sungai Gapoi dan Balai Raya Kampung Sungai Perdak.

Seramai 312 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan proses pengundian hari ini.

DUN Pelangai mempunyai 16,456 pengundi termasuk 73 undi pos.

Setakat  jam empat petang tadi SPR  memaklumkan peratusan keluar mengundi ialah 69 peratus.

Angka rasmi keluar mengundi akan diumumkan ketika pengumuman keputusan PRK itu, malam ini.

PRK Pelangai menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam; calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat; dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini