comscore
Tumpuan :
Politik

PRN 2023: “Saya terbuka, tak kisah tidak bertanding” – Nik Abduh

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz. Foto: HARIAN METRO

Oleh: Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi

KOTA BHARU: Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berlapang dada dengan keputusan PAS tidak mencalonkan beliau untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos nanti.

Beliau bagaimanapun berazam akan terus membantu parti sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan Kelantan terus ditadbir PAS.

Nik Abduh bagaimanapun enggan mengulas berhubung dua kerusi yang ditawarkan kepadanya, sebaliknya meminta pihak media bertanyakan kepada pucuk pimpinan parti.

“Kisahnya begini, minta tulis elok-elok ye, ketika saya mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini, saya mengatakan hasrat kepada beliau sekiranya parti mahu saya bertanding, saya memohon untuk bertanding di tempat yang tidak mengganggu tugas pertama saya iaitu di Pulau Melaka.

“Ini kerana selepas Pilihan Raya Umum (PRU), saya menguruskan tapak wakaf Mahaad Darul Anuar (MADA), peninggalan arwah bapa, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Justeru saya minta supaya tugas politik saya nanti sekiranya menang tidak menghalang saya untuk menguruskan MADA untuk taklim dan pengajian agama dan saya tidak memohon mana-mana kerusi khusus sebagaimana didakwa, saya hanya menyatakan hasrat berkenaan,” katanya ketika ditemui Buletin TV3 di rumahnya, di sini, hari ini.

Katanya tugas menjaga tapak maahad berkenaan hanya diamanahkan kepada keluarga Allahyarham Tok Guru.

Nama Nik Abduh dan Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa tidak diumumkan sebagai calon PAS pada Majlis Pengisytiharan Calon PN Kelantan di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam semalam.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan dakwaan tindakan tidak mencalonkan Nik Abduh berniat mahu `mematikan’ legasi Allahyarham Nik Abdul Aziz.

Loading...
Terkini