comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15 : Aminuddin Akui Sukar Pertahan Port Dickson

Aminuddin (kiri) dan Anthony Loke pada sidang media selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Parlimen Seremban, semalam.

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui sukar untuk mempertahan kerusi Parlimen Port Dickson untuk Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, cabaran bukan mudah walaupun penyandang kerusi itu yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menang besar majoriti 23,560 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Oktober 2018.

Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat diletak sebagai calon kerusi Parlimen Port Dickson selepas Anwar berpindah ke kerusi Tambun di Perak.

“Semua orang tidak akan tahu apa akan berlaku pada PRU-15 ini disebabkan 30 peratus akan mengundi kali pertama. Jadi, sesiapa pun tidak akan berani mengatakan mereka boleh menang pada pilihan raya ini dengan bergaya’, katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Parlimen Seremban, semalam.

Pengerusi PH, Anwar umum Aminuddin sebagai calon Parlimen Port Dickson.

Ini pertama kali Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR, bakal bertanding di kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang.

Bagi beliau, walaupun Port Dickson dilihat sebagai kubu kuat PKR berdasarkan peningkatan peratusan jumlah undi dimenangi sejak dua pilihan raya sebelum ini, namun ia tidak boleh dijadikan ukuran.

Kerusi Parlimen Port Dickson dijangka menyaksikan saingan lebih dua penjuru apabila desas desus Gerakan Tanah Air (GTA) bakal meletakkan pelakon dan pengarah filem, Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai calon, manakala Barisan Nasional (BN) juga akan mengumumkan calonnya bagi kerusi berkenaan tidak lama lagi.

Loading...
Terkini