comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Belum ada perbincangan ‘bersama’ BN-PH di Padang Serai

Oleh Kumaran Rajamoney

KULIM: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai, Datuk Sivaraj Chandran belum mendapat sebarang makluman mengenai kompromi di antara BN dan Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Jelasnya, tiada kepimpinan parti yang menghubungi beliau setakat ini bagi memaklumkan sama ada wujud perbincangan bersama seperti yang telah dipersetujui bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman di Pahang.

“Belum ada makluman kepada saya mengenai apa-apa perbincangan setakat ini. Kempen saya berjalan seperti biasa, malahan lebih agresif.”

“Sepatutnya kalau dinilai pada calon, saya sewajarnya diberikan laluan di Padang Serai kerana sudah menjalankan khidmat lapangan selama lebih 3 tahun. Namun, kalau soal parti diberikan keutamaan, saya tak pasti bagaimanakah unjurannya,” katanya.

Bagaimanapun, sekiranya ada perbincangan yang terarah kepada kompromi antara parti bertanding di Parlimen Padang Serai, Sivaraj memohon agar perkara itu dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu.

“Seeloknya maklumkan kepada saya sebelum perbincangan dijalankan, dan bukan sekadar memaklumkan keputusan akhir. Apapun, saya akan tunggu kepimpinan membuat pendirian,” katanya.

Sivaraj berkata demikian mengulas kenyataan berterusan mengenai adanya keperluan BN-PH berkompromi dalam pertembungan di PRU Padang Serai.

Ini susulan kesepakatan kedua-dua parti itu dalam membentuk kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan dan kerajaan negeri Pahang dan Perak.

Loading...
Terkini