comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] PRU Padang Serai: “Saya merayu, tolong undi calon PH”- Sivaraj

Oleh Kumaran Rajamoney

KULIM: Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Sivaraj Chandran merayu kepada pengundi di Parlimen Padang Serai untuk mengundi Calon Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak menjelang hari pengundian 7 Disember ini.

Menjelaskan kedua-dua parti sudah mempunyai persefahaman yang membawa kepada penarikan dirinya, Sivaraj risau masih ada penyokong yang tidak sedar mengenai kompromi melibatkan kerusi parlimen itu.

“Kemenangan calon PH ini penting kerana kita sudah ada persefahaman bahawa Dr Sofee akan membantu melaksanakan manifesto saya kepada penduduk di Padang Serai ini. Saya boleh terus berkhidmat melakukan semak dan imbang disamping beliau.”

“Perkara sama sukar terlaksana sekiranya calon lawan terutamanya dari Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) di sini,” katanya.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Sivaraj Chandran

Kompromi PH-BN di parlimen itu katanya mencipta memontum sokongan baharu di kalangan masyarakat pelbagai kaum.

“Masyarakat Cina dan India begitu positif dengan kerjasama PH-BN ini. Saya lihat bentuk penerimaan yang berbeza dikalangan pengundi dalam penampilan pertama saya di pentas yang sama dengan kepimpinan PH.”

“Hak dan kepentingan masyarakat Melayu juga pasti terbela dengan adanya UMNO dalam kerajaan. Memang wajar Dr Sofee diberikan ruang mewakili masyarakat pelbagai latar di Padang Serai ini.”

Sivaraj juga menzahirkan penghargaan kepada Setiausaha Agung PH, Datuk Saifuddin Nasution Ismail atas cadangan agar dirinya diberikan peranan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada beliau, dan kepimpinan BN. Tindakan saya menarik diri kerana patuh kepada arahan parti, meskipun pada mulanya ada sedikit ralat kerana sudah berkhidmat di sini selama lebih 3 tahun.”

“Saya tidak meletakkan sebarang syarat atau menerima apa-apa tawaran untuk berbuat demikian. Saya sendiri terperanjat apabila beliau membuat kenyataan sedemikian.”

PRU bagi Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan 6 penjuru diantara calon BN- Datuk Sivaraj, PH- Dr Mohamad Sofee, PN- Datuk Azman Nasrudin, Pejuang- Hamzah Abd Rahman, Warisan- Mohd Bakhri Hashim dan Bebas- Sreanandha Rao.

Bagaimanapun BN dan Warisan menarik diri susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Untuk rekod, Parlimen Padang Serai mempunyai seramai 133,767 orang pengundi berdaftar bagi PRU ke-15.

Loading...
Terkini