comscore
Tumpuan :
Sukan

6 tahun beraksi di Liga M, Redzovic tak sabar bergelar pemain naturalisasi

Redzovic berharap proses naturalisasinya berjalan lancar. – Foto: NSTP

KUALA TERENGGANU: Pertahanan Terengganu FC (TFC), Argzim Redzovic meletakkan impian yang tinggi agar proses naturalisasinya berjaya pada tahun ini.

Jelas pemain yang sudah hampir enam tahun beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), dia bagaikan tidak sabar untuk bergelar pemain naturalisasi sekali gus mengintai peluang menyarung jersi skuad kebangsaan.

Bagaimanapun pemain kelahiran Montenegro itu sedar ianya bukan proses yang mudah kerana membabitkan banyak pihak sebelum disahkan sebagai pemain berstatus naturalisasi.

“Setiap masa saya menanti detik itu (keputusan rasmi tentang proses naturalisasi) dan sejujurnya setakat ini saya tidak tahu perkembangan tentang perkara itu.

“Namun apa yang saya harapkan ia dapat keputusan secepat mungkin, ini impian saya dan saya percaya ramai pemain yang beraksi dalam Liga M pun mahu menjadi pemain naturalisasi.

“Selain membantu pasukan yang diwakili, saya juga menyimpan impian untuk menyarung jersi skuad Malaysia sebagaimana pemain lain seperti Paulo Josue dan Endrick Dos Santos yang kini berada dalam skuad kebangsaan.

“Saya tetap sabar menanti, namun pada masa sama mengharapkan proses naturalisasi saya tidak terhenti di tengah jalan dan ianya berjalan lancar mengikut perancangan.

“Jika boleh saya juga mahu beraksi dalam kancah Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) yang kini sedang berlangsung sebagai pemain naturalisasi sekali gus membolehkan pasukan kami menambah kuota pemain import,” kata pemain tinggi lampai itu.

Berdasarkan rekod, pemain yang menamatkan zaman bujangnya dengan gadis kelahiran Cameron Highland, Pahang, Nurraifana Azman mula beraksi dalam Liga M dengan menyarung jersi PDRM selama dua musim bermula 2018 sebelum berhijrah ke Terengganu FC II (TFC II) pada 2020 dan kini bersama skuad senior sejak musim lalu.

Loading...
Terkini