comscore
Tumpuan :
Sukan

Liga Malaysia (Liga M) akan diubah mengikut kalendar Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi musim 2024

Datuk Stuart Ramalingam ( Ketua Pegawai Eksekutif MFL ). -Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Demi memastikan jendela perpindahan Liga-M selari dengan liga antarabangsa, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan saingan Liga Malaysia (Liga M) akan diubah mengikut kalendar Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi musim 2024.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Stuart Ramalingam,  MFL kini masih dalam perbincangan bersama kelab bola sepak tanah air untuk memulakan perubahan itu bermula tahun depan.

“Ia juga untuk selarikan tempoh rehat dan memastikan persembahan pasukan kebangsaan, pasukan bawah umur dan yang menyertai Piala AFC dalam keadaan baik.

“Kami sedang membuat kajian untuk memastikan kalendar kita adalah selari, kita tahu kalendar antarabangsa ada beza dari segi iklim dan konteks tempatan yang diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Jelajah Piala Malaysia 2023, di sini hari ini.

Stuart berkata transisi yang dilakukan akan menjadikan musim kalendar liga bola sepak tanah air menjadi dua tahun, bermula 2024 dan berakhir 2025.

Beliau berkata MFL akan mengumumkan perkara tersebut bulan depan selepas segala perbincangan melibatkan kelab dan pihak berkepentingan selesai.

Mengenai Jelajah Piala Malaysia 2023, Stuart berkata ia bagi memastikan semua peminat bola sepak tanah air berpeluang melihat piala berprestij itu lebih dekat.

“Kami menggalakkan peminat bola sepak untuk merebut peluang menyaksikan trofi Piala Malaysia yang disanjungi dan kaya dengan sejarah,” katanya.

Jelajah bermula hari ini hingga 3 Dis ini, melibatkan lima AEON BiG terpilih bermula di AEON BiG Wangsa Maju (15-17 Sept) diikuti AEON BiG Falim, Ipoh, Perak (22-24 Sept); AEON BiG, Kuantan, Pahang (20-22 Okt); AEON BiG Shah Alam atau Klang, Selangor (3-5 Nov); dan AEON BiG Batu Pahat, Johor (1-3 Dis).

Perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 dijadualkan pada 9 Dis ini.

Loading...
Terkini