comscore
Tumpuan :
Sukan

ACL 2023: JDT benam BG Pathum

Foto: JOHOR Southern Tigers/ Facebook

BANGKOK: Johor Darul Ta’zim, JDT berjaya mengutip tiga mata berharga apabila menewaskan kelab Thailand, BG Pathum United 4-2 pada aksi kedua kumpulan I, Liga Juara-juara Asia, ACL 2023 malam tadi.

Beraksi di Stadium Pathum Thani, Bangkok, BG Pathum United dan JDT memburu kemenangan pertama selepas kedua-dua pasukan tewas pada aksi pembukaan kumpulan I, 19 September lalu.

Jelas, kelab Thailand itu tidak memberi laluan mudah apabila terlebih dahulu di depan seawal minit kelima menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Victor Cardozo.

Namun kegembiraan tuan rumah tidak kekal lama selepas pemain lincah, Arif Aiman Hanapi hanya memerlukan seminit kemudian untuk menyamakan kedudukan.

Jaringan penyamaan itu nyata menyuntik semangat JDT, hasilnya penyerang sensasi, Bergson Da Silva meledak gol kedua Harimau Selatan, minit ke-14.

Bersambung babak kedua, JDT sekali lagi merobek gawang BG Pathum pada minit ke-53, kali ini menerusi penyudah Juan Muniz.

Tersentak dengan jaringan itu, BG Pathum kembali merapatkan kedudukan hasil tandukan Cardozo, dua minit kemudian.

Ketika tuan rumah sibuk mengasak untuk memburu gol penyamaan, Arif Aiman sekali lagi mencuri tumpuan apabila meledak gol keempat Harimau Selatan dari sudut sukar pada minit ke-78.

Kedudukan 4-2 itu kekal sehingga wisel penamat menyaksikan JDT ceria mengutip tiga mata penuh sekaligus melonjak ke tangga kedua kumpulan I dibelakang kelab Jepun, Kawasaki Frontale yang mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai 1-0.

Loading...
Terkini