comscore
Tumpuan :
Sukan

Al-Hilal tawar Mbappe gaji lumayan RM1.01 bilion setahun

Kylian Mbappe kini menjalani latihan bersama pasukan belia kelab di pusat latihan PSG di Poissy, Perancis selepas diketepikan daripada jelajah pramusim ke Jepun dan Korea Selatan. – Foto: REUTERS

RIYADH: Bintang Perancis, Kylian Mbappe ditawar gaji lumayan 200 juta euro (RM1.01 bilion) setahun untuk menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al-Hilal.

Mbappe, 24, kini berbalah mengenai kontraknya di Paris Saint-Germain (PSG) sekali gus menyaksikannya diketepikan daripada jelajah pramusim ke Jepun dan Korea Selatan.

Penyerang itu berbaki kontrak dengan kelab gergasi Perancis itu hingga musim panas 2024 tetapi hingga kini dia enggan untuk menandatangani kontrak lanjutan di Paris, dengan laporan mengaitkannya sekali lagi untuk berpindah ke Real Madrid.

Ia menyebabkan pemilik PSG menegaskan dia mesti dijual jika tidak bersetuju dengan perjanjian baharu, dengan kelab itu sedia menerima kurang daripada £155 juta (RM909 juta) yang mereka bayar kepada AS Monaco untuk mengikatnya pada tahun 2017 bagi mengelak pemergiannya secara percuma.

Menurut wartawan Itali, Tancredi Palmeri, Al-Hilal – satu daripada empat kelab Liga Pro Saudi yang dimiliki Dana Pelaburan Awam – sudah membuat tawaran mega untuk membelinya.

Beliau mendakwa mereka menawarkan pemain itu gaji RM1.01 bilion setahun dengan kontrak dua tahun, juga mungkin termasuk klausa pelepasan selepas tahun pertama dia dijual khusus ke Real Madrid.

Laporan itu turut menyebut mereka akan membayar RM1.01 bilion yuran perpindahan kepada PSG, yang mungkin memuaskan hati kelab Paris itu untuk melepaskannya.

Mbappe, yang dilaporkan sedia menghabiskan musim depan untuk memaksa perpindahan ke Real secara percuma pada musim panas akan datang, difahamkan tidak berminat untuk bermain di Arab Saudi tetapi jika Los Blancos gagal membayar yuran perpindahan tahun ini, tawaran Al-Hilal dianggap jalan penyelesaian kepada semua pihak.

Dia sudah lama dikaitkan dengan Real, namun memutuskan untuk menandatangani kontrak baharu bernilai £650,000 (RM3.8 juta) seminggu bersama PSG dan tidak menyertai mereka tahun lalu.

Sejak itu, banyak perkara negatif berlaku di Paris, dengan pemain Perancis itu mengecam pemimpin kelab dan mengancam untuk meninggalkan kelab secara percuma sebaik kontraknya tamat. – AGENSI

Loading...
Terkini