comscore
Tumpuan :
Sukan

PSG diselamatkan gol penalti lewat Mbappe

Penyerang PSG, Kylian Mbappe meraikan jaringannya menerusi sepakan penalti untuk menyamakan kedudukan pada aksi Liga Juara-Juara di Parc des Princes, Paris awal pagi tadi. FOTO: Reuters

PARIS: Gol penalti Kylian Mbappe pada minit ke-98 membantu Paris Saint-Germain (PSG) mengikat Newcastle United 1-1 pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi sekali gus menghidupkan peluang mereka layak ke pusingan 16 terakhir.

Bagaimanapun Newcastle yang menang 4-1 apabila kedua-dua pasukan bertemu di St James’ Park bulan lalu, sudah berada di ambang membawa pulang tiga mata dari Paris pada pertembungan Kumpulan F itu apabila mendahului menerusi gol pembukaan Alexander Isak pada minit ke-25.

PSG sudah kebuntuan idea namun mereka bertuah apabila dihadiahkan peluang untuk memaksa keputusan seri pada masa kecederaan bila mana VAR memutuskan Tino Livramento dipersalahkan kerana memegang bola dalam kotak penalti.

Mbappe tidak melakukan kesilapan dan PSG kekal di tangga kedua kumpulan itu di belakang Borussia Dortmund, yang menang 3-1 ke atas AC Milan di gelanggang lawan sekali gus layak ke pusingan 16 terakhir.

Juara Perancis itu akan menyertai mereka jika menang di Dortmund pada aksi terakhir peringkat kumpulan, manakala Newcastle kini perlu menang di laman sendiri berdepan Milan dan berharap PSG kalah.

“Saya berasakan ia satu keputusan yang buruk,” kata pengurus Newcastle, Eddie Howe mengenai sepakan penalti itu.

“Ia amat mengecewakan kami kerana ketika itu anda sedar masa semakin suntuk dalam perlawanan itu, tetapi tiada apa yang boleh kami lakukan mengenainya sekarang.”

Penyerang Newcastle United, Joelinton (kiri) mengekang asakan pemain PSG, Achraf Hakimi pada aksi Liga Juara-Juara di Parc des Princes, Paris awal pagi tadi. FOTO: Reuters

Pasukan Howe boleh tersingkir jika kalah, jadi sekurang-kurangnya mereka masih bersaing, manakala mengelak kekalahan ketiga dalam lima perlawanan kumpulan membolehkan PSG mengetepikan ancaman tersingkir kali pertama daripada Liga Juara-Juara sebelum pusingan 16 terakhir dalam era pemilikan Qatar.

“Kami sepatutnya menang, tidak ragu-ragu mengenainya. Saya fikir ia satu persembahan lengkap daripada kami,” kata jurulatih PSG, Luis Enrique.

“Kami lebih bagus berbanding Newcastle tetapi itulah bola sepak,” katanya sebelum mendakwa beliau tidak melihat insiden genting penalti itu.

PSG sering kali bergelut untuk memukau dalam Liga Juara-Juara sejak sedekad lalu namun tidak seteruk musim ini dan gol lewat Mbappe – gol ke-17 buatnya musim ini – ternyata menyelamatkan mereka buat seketika. – AGENSI

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini