comscore
Tumpuan :
Sukan

PSG tewaskan AS Monaco, kukuh cengkaman Ligue 1

FOTO: Paris-Saint Germain/ X

PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) mempamerkan aksi mengagumkan untuk meraih kemenangan 5-2 ke atas AS Monaco dengan lima penjaring gol berbeza awal pagi tadi sekali gus mengukuhkan cengkaman mereka di puncak Ligue 1.

Gol sumbangan Goncalo Ramos, Kylian Mbappe, Ousmane Dembele, Vitinha dan Randal Kolo Muani memastikan tiga mata buat PSG dengan Takumi Minamino dan Folarin Balogun membalas buat Monaco.

PSG mendahului pada minit ke-18 menerusi Ramos yang mengambil kesempatan bola muntah daripada penjaga gol Monaco, Philipp Kohn.

FOTO: Paris-Saint Germain/ X

Pemain pelawat, Minamino bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan empat minit kemudian.

Mbappe mengembalikan pendahuluan PSG menerusi sepakan penalti pada minit ke-39 untuk melebarkan jumlah gol sebagai pendahulu penjaring terbanyak Ligue 1 musim ini kepada 14 gol.

Dembele pula menyumbat gol pertamanya musim ini untuk mengukuhkan lagi kedudukan PSG, kira-kira 20 minit sebelum tamat.

Dua minit kemudian, giliran Vitinha menjaringkan gol menakjubkan dari penjuru kotak penalti.

FOTO: Paris-Saint Germain/ X

Balogun membalas satu gol buat pelawat selepas lorongan cantik Minamino pada minit ke-75 tetapi Kolo Muani melengkapkan kemenangan besar PGG pada masa kecederaan.

Pasukan kendalian Luis Enrique mengumpul 30 mata, empat mata di depan pasukan tangga kedua Nice, yang akan melayan kunjungan Toulouse, malam esok.

Manakala, Monaco di tangga ketiga dengan 24 mata.

Awal pagi Rabu ini, PSG akan berdepan Newcastle United dalam Kumpulan F Liga Juara-Juara di laman sendiri. – REUTERS

Loading...
Terkini