comscore
Tumpuan :
Sukan

Apa sudah jadi dengan tuan rumah Euro 2024?

Insiden yang menyaksikan pemain Jerman, Leroy Sane dibuang padang oleh pengadil Slavko Vincic apabila dia menyiku dan menjatuhkan pertahanan Austria, Philip Mwene pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Ernst Happel, Vienna awal pagi tadi. – Foto: Reuters

VIENNA: Jerman meneruskan rentak hambar mereka enam bulan sebelum menjadi tuan rumah Euro 2024.

Sudahlah tumbang 0-2 di tangan Austria, pemainnya, Leroy Sane turut dibuang padang kerana mencekik dan menolak lawan hingga jatuh pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Ernst Happel, Vienna, awal pagi tadi.

Gol pada setiap babak jaringan Marcel Sabitzer (minit ke-29) dan Christoph Baumgartner (m-73), di samping kad merah Sane selepas menolak jatuh pertahanan Austria, Phillipp Mwene, melengkapkan malam buruk buat anak buah Julian Nagelsmann.

 

Kad merah itu, yang pertama diterima Sane dalam karier bola sepak profesional selepas lebih 400 perlawanan, bermakna Jerman terpaksa beraksi hampir keseluruhan babak kedua kurang seorang pemain.

“Saya fikir kad merah buat Leroy merumuskan segala-galanya: kekecewaan, kesedihan,” kata kapten Jerman, Ilkay Gundogan kepada saluran televisyen ZDF.

“Akhirnya kami memudahkan buat Austria untuk mencipta dan menjaringkan gol. Kami tidak cukup bagus.”

 

Pemain tengah Austria, Marcel Sabitzer (dua dari kanan) menjaringkan gol pembukaan ketika menentang Jerman pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Ernst Happel, Vienna awal pagi tadi. – Foto: Reuters

Sane kemudian memohon maaf kepada peminat dan rakan sepasukannya dalam media sosial, dengan berkata “di sebalik emosi dan impian saya, ini tidak patut berlaku kepada saya, terutama dalam situasi semasa kami.”

Nagelsmann berkata, pasukannya boleh mengubah nasib mereka “hanya dengan kerja keras tahap maksimum.”

Jerman kini hanya menang tiga daripada 11 perlawanan pada 2023, catatan yang menyebabkan bekas jurulatih Hansi Flick muncul pengurus pertama dipecat dalam sejarah bola sepak negara itu.

Austria pula menang tujuh dan kalah hanya sekali daripada 10 perlawanan tahun ini dan ketika mereka melayakkan diri ke Euro 2024, mereka terus bertindak cemerlang di bawah kendalian bekas jurulatih Manchester United, Ralf Rangnick. – AGENSI

Loading...
Terkini