comscore
Tumpuan :
Sukan

England mampu rangkul trofi Euro 2024 – Beckham

Bekas pemain bola sepak England, David Beckham (tengah) menyaksikan perlawanan kriket Piala Dunia ICC di Mumbai, India. FOTO: Reuters

MUMBAI: David Beckham berkata bintang muda England berpotensi menamatkan penantian negara itu selama beberapa dekad untuk merangkul trofi utama pada kejohanan Euro 2024 di Jerman.

Bekas kapten England itu memenangi pelbagai pingat dalam karier bersama kelab tetapi gagal menjulang piala di peringkat antarabangsa walaupun bermain dalam pasukan yang dibarisi ramai pemain berbakat.

Pasukan kendalian Gareth Southgate yang menghuni ranking keempat FIFA, mempunyai rekod yang baik baru-baru ini di kejohanan utama tetapi England belum mengecap kejayaan sejak memenangi Piala Dunia 1966 di tanah air sendiri.

Mereka mara ke separuh akhir Piala Dunia di Russia pada tahun 2018 dan berdepan kekalahan memeritkan kepada Itali menerusi sepakan penalti ketika perlawanan akhir Kejohanan Eropah di Wembley tiga tahun kemudian.

Manakala barisan pemain Southgate yang tewas kepada Perancis di suku akhir Piala Dunia tahun lalu di Qatar, sudahpun mengesahkan tempat ke pusingan akhir Euro 2024 ketika saingan berbaki dua perlawanan, menentang Malta dan Macedonia Utara.

“Saya sangat percaya dengan pasukan England ini. Saya percaya pada Gareth Southgate dan apa yang dia lakukan selama beberapa tahun kebelakangan ini.

“Nasib kami tidak baik apabila tewas di perlawanan akhir Euro menentang Itali, tetapi kami begitu hampir,” kata Beckham, 48.

Pasukan itu kini mempunyai barisan pemain berbakat terutama di bahagian serangan seperti bintang Real Madrid, Jude Bellingham, 20, dan Harry Kane yang menikmati musim prolifik di Bayern Munich.

Bekas pemain tengah Manchester dan Real Madrid itu yang melawat India dalam peranannya sebagai Duta Muhibah UNICEF, berkata: “Saya tidak mahu bercakap terlalu awal, tetapi Euro 2024, saya fikir kita mempunyai peluang sebenar dengan pemain muda seperti Cole Palmer, Jude Bellingham, dan pemain lain yang kami ada dalam pasukan.

“Dan sudah tentu, anda tahu, kami mempunyai kapten seperti Harry Kane yang masih terus memberi inspirasi kepada pasukannya dan masih terus menjaringkan gol. Jadi saya rasa kami mempunyai peluang yang sebenar.”

England menerima kunjungan Malta pada hari Jumaat sebelum menentang Macedonia Utara di tempat lawan tiga hari kemudian. – AGENSI

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini