comscore
Tumpuan :
Sukan

AUG 2024: Atlet tambah kutipan pingat emas

Umar Osman (tengah) bersama pingat emas acara 400m dimenangi pada temasya Sukan Universiti ASEAN di Surabaya, Indonesia hari ini. FOTO: Sukan IPT / Facebook

SURABAYA: Pemegang rekod kebangsaan dalam acara olahraga jelas tidak mengecewakan pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 selepas mereka berjaya menggungguli acara masing-masing.

Memasuki hari kedua acara olahraga di Gelanggang Olahraga Universitas Negeri Surabaya (UNESA), kontinjen negara berjaya menambah tiga lagi pingat emas menerusi acara 400m lelaki, 400m wanita dan 4x100m lelaki.

Pemegang rekod kebangsaan dalam acara 400m, Umar Usman merangkul emas pertamanya di AUG dengan catatan 47.22 saat meninggalkan pelari Indonesia, Muhamad Fitadi (48.20s) dan Jirateep Bunde dari Thailand (48.66s).

Umar selepas perlumbaan berkata, dia mengambil keputusan untuk ‘memecut’ selepas melihat dia agak ketinggalan dalam perebutan pingat emas acara itu.

“Disebabkan nak menang pingat emas, saya tidak boleh perlahan kerana pada permulaan, saya nampak agak perlahan jadi saya kena lajukan (larian).

“Saya potong mereka untuk dapatkan pingat emas. Saya yakin dapat pingat emas sebab saya percaya dengan diri sendiri dan itu menjadikan saya bersemangat untuk buktikan saya boleh dapat pingat emas di sini.

“Saya berpuas hati dengan persembahan hari ini tetapi saya kena fokus untuk sumbangkan pingat emas dalam acara 4x400m nanti,” katanya.

Shereen Samson Vallabouy juga memperaga aksi cemerlang apabila mendominasi acara 400m dengan catatan 53.71s, jauh meninggalkan pencabar terdekatnya dari Thailand, Benny Nontanam (55.09s) dan Maulidah dari Indonesia (56.51s).

Kuartet negara yang dibarisi Muhammad Azeem Fahmi, Mohammad Thaqif Mohammad Hisham, Aliff Iman Mohd Fahimi dan Mohd Raimi Mustafa Kamal turut menghadiahkan pingat emas dengan catatan 40.10s.Dalam acara sebelah pagi,

Malaysia meraih pingat emas pertama menerusi acara lontar peluru wanita yang dimenangi Nani Sahirah Maryata dengan catatan 15.20m.

Pemegang rekod kebangsaan itu hanya kekurangan 0.3m untuk memecahkan rekod sendiri yang dipegangnya dengan catatan 15.23m.

Sebelum itu, atlet lempar cakera, Queenie Ting Kung Ni berjaya mempertahankan pingat emas dimenanginya di Ubon Ratchathani menerusi catatan 45.23m.

Andre Anura Anuar kemudiannya meraih pingat emas dalam acara lompat jauh selepas melakukan lompatan terbaik 7.46m.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini