MALANG: Kem olahraga terus menyinar dengan menambah empat pingat emas di hari kesembilan Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Lapangan Atletik Universitas Negeri Surabaya (UNESA) menyaksikan Muhammad Azeem Mohd Fahmi sekali lagi cemerlang mengungguli acara 200 meter (m).
Selepas membantu kuartet 4×100 meter (m) negara meraih pingat emas semalam, penuntut Universiti Auburn itu mencatat kepantasan 21.15 saat (s) meninggalkan pelari tuan rumah Muhamad Ramdan Fitadi (21.43s) dan pencabar Thailand Ruamchok Semathong (21.80s).
Kecemerlangan itu diteruskan atlet tukul besi Sadat Marzuki Ajisan yang menyambar pingat emas selepas melakukan balingan sejauh 59.18 m menewaskan pencabar tuan rumah Putera Rafika 47.48 m dan atlet Filipina John Laur Ballelos 45.75 m.
Acara 800 m lelaki turut membutirkan satu pingat emas menerusi Wan Muhamad Fazri Wan Zahri yang menamatkan larian dengan catatan masa 1:51.28 s di hadapan pelari Filipina David Paul Matibag (1:52.25 s) dan atlet Timor Leste Manuel Belo Amaral (1:53.51 s).
Emas keempat olahraga muncul menerusi acara lompat tinggi lelaki selepas Muhammad Aiman Syazwan Abdullah melakukan catatan 2.10 m menewaskan rakan senegara Farrel Felix Jurus (2.05 m) yang meraih perak dan atlet tuan rumah Rafael memperoleh gangsa (2.05 m).
Selepas tiga hari acara olahraga berlangsung, mereka sudahpun meraih 10 pingat emas secara keseluruhan.
Sebelum ini, pingat emas dimenangi menerusi acara lempar cakera wanita, lompat jauh lelaki, lontar peluru wanita, 400m lelaki, 400m wanita serta 4x100m lelaki.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa