comscore
Tumpuan :
Sukan

Azhar Sharif meninggal dunia

Azhar meninggal dunia di Hospital Selayang, hari ini. -FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Dunia bola sepak negara menangisi pemergian bekas pemain kebangsaan era 1980an, Azhar Mohd Sharif yang menghembuskan nafas terakhirnya pada 4.30 pagi tadi.

Pemergian legenda yang jarang didendang itu disahkan rakannya, Zulkifli Mohamad akibat penyakit angin ahmar dan komplikasi jantung di Hospital Selayang, Selangor.

Jelas Zulkifli, Azhar yang berusia 58 tahun sebelum ini mengalami masalah pernafasan hingga terpaksa menggunakan mesin bantuan oksigen.

“Beliau dimasukkan ke hospital itu sebelum Ramadan lagi (hampir sebulan) dan terpaksa menggunakan mesin bantuan oksigen bagi melancarkan pernafasan.

“Kelmarin atas nasihat doktor di situ (Hospital Selayang) dan selepas mendapat persetujuan keluarga terdekat, mesin itu dibuka,” katanya.

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Buloh, Selangor, hari ini.

Pada 2021 lalu, Arena Metro pernah melaporkan mengenai kehidupan Azhar yang susah dan menumpang di hutan simpan di Kampung Kemensah, Hulu Klang, Selangor.

Menerusi laporan itu, Azhar dipindahkan ke Baitul Islah di Serendah, Rawang bagi mendalami ilmu agama selain mendapat tempat perlindungan yang lebih selesa.

Sepanjang hayatnya, arwah adalah rakan sepasukan dengan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan tonggak utama Selangor pada era pertengahan 1980-an dan pernah menjulang Piala Malaysia pada 1984 dan 1986.

Malah, dia pernah beberapa kali menyarung jersi Harimau Malaya dengan memori paling manis membantu Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka pada 1986.

Selain pernah beraksi di samping Mokhtar, Azhar adalah rakan sepasukan kepada mendiang R Arumugam, Datuk Zainal Abidin Hassan, Datuk Dollah Salleh, Zapril Hashim, Khang Hung Meng, Datuk Lim Teong Kim dan Zainal Nordin.

Pada final Piala Malaysia 1986, Azhar mencetak dua gol buat Selangor untuk menang 6-1 ke atas Johor selain meledak satu gol ketika final Piala Malaysia 1984 dengan menewaskan Pahang 3-1.

Loading...
Terkini