comscore
Tumpuan :
Sukan

BADMINTON: Cabaran Pearly-Thinaah berakhir

Pearly Tan – M. Thinaah – Foto: BAM

KUALA LUMPUR: Hasrat gandingan wanita, Pearly Tan dan M. Thinaah untuk mara ke peringkat suku akhir badminton Terbuka Korea tidak kesampaian selepas terpaksa akur dengan kekalahan kepada pilihan utama dari China, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan.

Bagaimanapun, bukan laluan mudah diberikan Pearly dan Thinaah apabila mereka mengheret pertarungan sehingga ke aksi set penentuan.

Set pertama, Qing Chen dan Yi Fan menepati status sebagai pilihan utama apabila berjaya mengatasi cabaran Pearly-Thinaah menerusi kemenangan 21-17.

Namun, kebangkitan dipamerkan pemenang Anugerah Sukan Negara itu apabila berjaya menguasai set kedua dengan keputusan 21-17.

Pertarungan sengit terus disajikan pada set ketiga dengan Pearly dan Thinaah akhirnya terpaksa akur melepaskan kemenangan kepada pilihan utama itu selepas tewas dengan keputusan 19-21, menamatkan aksi yang berlangsung selama 67 minit.

Turut mengakhiri cabaran, dua beregu campuran utama negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing – Foto: BAM

Kian Meng dan Pei Jing berdepan cabaran sukar apabila turun menentang pilihan kedua dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Sapsiree Taerattanachai.

Dan hanya 27 minit diperlukan gandingan Thailand itu apabila melengkapkan kemenangan ‘straight set’, 21-9 dan 21-7 untuk melangkah ke peringkat suku akhir.

Sementara itu, Soon Huat dan Shevon yang turun selaku pilihan ketujuh kejohanan ditunjuk jalan keluar selepas turut tewas ‘straight set’ kepada pasangan dari Jepun, Hiroki Midorikawa dan Natsu Saito.

Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie – Foto: BAM

Agak sengit pada set pertama, namun, Soon Huat dan Shevon terlepas beberapa mata penting menyaksikan mereka tewas dengan keputusan 17-21.

Set kedua, walaupun cuba untuk bangkit melawan, permainan lebih kemas disajikan Midorikawa dan Saito yang menutup aksi dengan kemenangan 21-13, sekaligus mengakhiri cabaran beregu campuran Malaysia di Terbuka Korea kali ini.

Loading...
Terkini