comscore
Tumpuan :
Sukan

Berminat jadi tuan rumah Piala Asia, tetapi beberapa perkara perlu diperhalusi – PSM

Kejayaan menganjurkan Kejohanan Piala Dunia dengan cemerlang dari 16 hingga 26 Mei lalu dapat pujian ASTAF. Foto fail

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) secara dasarnya bersetuju menerima tawaran Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) bagi menjadi tuan rumah Piala Asia 2025 yang akan dianjurkan buat julung kalinya.

Bagaimanapun, Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan, berkata ada beberapa faktor yang perlu diperhalusi terutama berhubung dana bagi menganjurkan kejohanan itu.

“Secara dasarnya, kita bersetuju. Namun, ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi.

“Antaranya, dana dan takwim kita tahun depan yang dijangka penuh. Kita ada Sukan SEA di Bangkok, Piala Tun Ali, STL (Liga Sepak Takraw) dan mungkin kejohanan lain yang turut akan berlangsung,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM di sini, semalam.

Menurut Sumali, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan ASTAF, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) bagi mendapatkan pandangan berhubung penganjuran kejohanan itu tahun depan.

“Selepas itu nanti kita akan buat keputusan sepenuhnya sama ada Piala Asia ini akan diteruskan atau beri kejohanan lain terlebih dahulu,” katanya.

Presiden ASTAF Datuk Abdul Halim Kader dalam kenyataannya, bulan lalu memaklumkan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi ASTAF dalam mesyuaratnya di Bangkok sebulat suara bersetuju untuk melantik Malaysia selaku tuan rumah Piala Asia 2025.

Menurut Abdul Halim, faktor utama Malaysia diberi kepercayaan dan ditawarkan hak penganjuran Piala Asia 2025 bersandarkan kepada 10 asas kukuh dan praktikal, antaranya kejayaan menganjurkan Kejohanan Piala Dunia dengan cemerlang dari 16 hingga 26 Mei lalu.

Dalam pada itu, Mesyuarat Agung Tahunan PSM turut menyaksikan skuad takraw negara menerima insentif khas berjumlah RM170,000 yang dijanjikan MSN susulan kejayaan membanggakan pada kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 bulan lepas.

Sebelum ini, MSN meluluskan pemberian insentif berjumlah RM60,000 masing-masing kepada pasukan regu dan double berikutan kejayaan muncul juara, manakala regu berpasukan yang bergelar naib juara pula menerima RM50,000.Cek disampaikan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini