comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK: CONMEBOL hargai, beri penghormatan kepada barisan juara Piala Dunia 2022

Messi berdiri bersebelahan tugu dirinya di ibu pejabat CONMEBOL dalam majlis khas di Asuncion. – FOTO: REUTERS

ASUNCION: Wira bola sepak kebangsaan Argentina, termasuk bintang penyerang yang juga ketua pasukan Lionel Messi, diberi penghormatan pada satu majlis khas di ibu pejabat CONMEBOL (Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan) di Paraguay.

Badan bola sepak serantau CONMEBOL dengan kerjasama Persekutuan Bola Sepak Argentina, mengadakan majlis di Asuncion untuk memberi penghargaan kepada Messi dan seluruh skuad berikutan kejayaan Piala Dunia FIFA yang tidak dapat dilupakan pada 2022 di Qatar.

Messi juga ditunjukkan tugu dirinya yang akan dipamerkan di muzium persekutuan bersama-sama dengan Pele dan Diego Maradona.

Skuad dibimbing Lionel Scaloni itu turut dihadiahkan trofi kecil Piala Dunia dan Finalissima (Juara CONMEBOL dan UEFA).

Acara itu berlangsung sebelum cabutan untuk peringkat kumpulan kejohanan Copa Libertadores dan Copa Sudamericana, yang berfungsi sebagai pertandingan kelab terulung serantau.

Argentina menewaskan Perancis dalam penentuan sepakan penalti 4-2 selepas permainan terikat 3-3 di Stadium Lusail.

La Albiceleste menjulang mahkota Piala Dunia ketiga mereka tahun lalu, dan pertama sejak barisan Maradona memenanginya 1986.

Loading...
Terkini