comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK – Spurs pintas Newcastle, Heung-Min kembali catat jaringan

Pemain Tottenham Hotspur, Son Heung-min meledak gol kedua pasukannya ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang West Ham di Stadium Tottenham Hotspur, London. – Foto REUTERS

LONDON: Kemenangan 2-0 yang dilakar Tottenham Hotspur ke atas West Ham United semalam cukup bermakna apabila skuad kendalian Antonio Conte itu ceria memintas Newcastle United untuk menghuni tangga keempat liga di belakang Arsenal, Manchester City dan Manchester United.

Spurs kini mengumpul 42 mata hasil 13 kemenangan dan tiga keputusan seri yang dilakar setakat musim ini.

Apapun, aksi berdepan West Ham semalam menjadi detik cukup penting buat bintang Korea Selatan, Son Heung-Min yang kembali mencetak nama selaku penjaring.

Terikat tanpa jaringan pada aksi 45 minit pertama, Spurs hanya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke 56 hasil jaringan Emerson Royal.

Minit ke 68, Heung-Min masuk menggantikan Richarlison dan nyata tindakan yang dibuat pengendali, Antonio Conte berbaloi.

Minit ke 72, Heung-Min mencetak nama selaku penjaring, melengkapkan kemenangan 2-0 Spurs ke atas West Ham.

Heung-min bergelut mencapai prestasi sebenarnya musim ini sehingga memaksa pengendali Spurs, Antonio Conte memulakannya di bangku simpanan untuk aksi Liga Perdana Inggeris itu.

Sebelum perlawanan hujung minggu ini, pemain 30 tahun itu hanya meledak gol dalam empat perlawanan musim ini.

“Tidak ada pemain mahu duduk di bangku simpanan tetapi ia adalah keputusan yang perlu diterima. Ia ditentukan oleh pengendali dan saya perlu menerimanya.

“Saya sudah berusaha sebaik mungkin untuk membantu pasukan. Saya mendapat peluang dan saya gembira dapat menjaringkan gol. Hantaran sangat baik dan sentuhan pertama saya menjelmakan gol,” kata Heung-min.

Pertahanan Tottenham Hotspur, Emerson Royal (dua dari kanan) meraikan jaringan golnya bersama rakan sepasukan ketika menentang West Ham United. – Foto AFP

Kemenangan itu melonjak Tottenham ke tangga keempat, satu mata mengatasi Newcastle yang bermain kurang satu perlawanan.

Conte masih belum kembali bersama pasukan susulan pembedahan pundi hempedunya, dengan penolong jurulatih, Cristian Stellini mencorak permainan mengikut arahan pengendali itu yang masih berada di Itali.

Ia adalah kemenangan penting buat Spurs, yang dibelasah Leicester pada hujung minggu lalu sebelum tewas 1-0 di tangan AC Milan dalam aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah.

Loading...
Terkini