comscore
Tumpuan :
Sukan

COPA AMERICA: 10 pemain bawa Colombia ke final jumpa Argentina 

Penyokong Colombia meraikan kejayaan pasukan mereka ke final Copa Amerika.- Foto: Reuters

CHARLOTTE: Biarpun terpaksa beraksi 10 pemain sepanjang babak kedua, Colombia membuktikan berada di kelas tersendiri apabila mara ke final, mengalahkan Uruguay 1-0 pada separuh akhir pagi tadi.

Gol kemenangan Colombia hasil tandukan Jefferson Lerma pada minit ke-39, yang menewaskan penjaga gol Sergio Rochet.

Colombia terpaksa beraksi dengan 10 pemain sejurus sebelum rehat, apabila Daniel Munoz dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua kerana menyiku Manuel Ugarte.

“Salah satu topik utama yang kami bincangkan adalah kami tidak mahu kekurangan seorang pemain. Hampir mustahil untuk mengekalkan prestasi dengan 10 pemain di padang.

“Pasukan yang mendominasi lawan mereka apabila mereka kekurangan pemain akan tersingkir daripada kejohanan. Kami benar-benar menganalisis situasi itu.

“Dengan formasi, kami hanya mempunyai dua pilihan 5-4, 5-3-1 atau untuk mengekalkan 4-3-2 dan mencipta peluang.

“Kami memilih yang terakhir dan Tuhan memihak kepada kami,” kata jurulatih Colombia, Nestor Lorenzo.

Separuh masa kedua umpama hari yang panjang buat Colombia apabila diasak hebat Uruguay dan hampir dikejutkan gol penyamaan lawan menerusi  penyerang veteran Luis Suarez hyang tertampan tiang.

Colombia kemudiannya terpaksa menggunakan pendekatan untuk bertahan dan jaringan tunggal itu berjaya dipertahankan sehingga wisel penamat.

Colombia akan menentang Argentina pada perlawanan akhir Isnin ini manakala.Uruguay bertemu Kanada untuk penentuan tempat ketiga.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini