comscore
Tumpuan :
Sukan

COPA AMERIKA 2024: Kemenangan ‘mahal’ Mexico pada aksi pembukaan 

Aksi perlawanan pembukaan Kumpulan B, Mexico menentang Jamaica di Copa America. FOTO: Reuters

SANTA CLARA: Bukan sahaja terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Jamaica 1-0 pada aksi pembukaan Kumpulan B, Copa Amerika, malah Mexico bakal kehilangan tonggak yang juga kapten pasukan, Edson Alvarez yang mengalami kecederaan.

Alvarez, yang bermain bersama West Ham United di England, antara pemain paling berpengalaman dalam pasukan Mexico, rebah selepas mengalami kecederaan hamstring pada minit ke-30 dan berjalan keluar dari padang sambil menangis.

Jamaica yang berada di kedudukan 38 di bawah Mexico, lebih dahulu mengejutkan Mexico apabila Michail Antonio menanduk masuk ke gawang lima minit selepas separuh masa kedua.

Bagaimanapun Mexico menarik nafas lega, apabila gol itu dibatalkan kerana ofsaid selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Mexico kemudiannya mempertingkatkan asakan menerusi Luis Chavez, Santiago Gimenez dan Gerardo Arteaga menyaksikan penjaga gol Jamaica, Jahmali Waite bekerja keras.

Waite tewas juga pada minit ke-69 apabila gagal menghalang percubaan  Arteaga.

Jamaica memiliki peluang terakhir untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata, tetapi sepakan Dexter Lembikisa berjaya diselamatkan penjaga gol Mexico, Julio Gonzalez.

Arteaga berkata, jaringan Jamaica yang dibatalkan memberikan Mexico semangat untuk terus berusaha dan memenangi perlawanan.

“Satu gol, sama ada untuk pasukan sendiri atau lawan, banyak mengubah keadaan anda. Melihat ia (jaringan Jamaica) dibatalkan, itu juga sedikit sebanyak menaikkan semangat kami untuk terus berusaha mencari gol,” kata pertahanan kiri itu kepada TUDN

Mexico, yang membuat penampilan ke-11 dalam Copa America, mara ke final pada 1993 dan 2001 akan menentang Venezuela, Khamis ini di Los Angeles, sementara Jamaica berdepan Ecuador pada hari yang sama di Las Vegas

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini