comscore
Tumpuan :
Sukan

Dhabitah harapan Pandelela layak ke Olimpik Paris

Gandingan Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri buru tiket Olimpik menerusi acara 10m platform seirama.

KUALA LUMPUR: Terlepas tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 bagi acara 10 meter (m) platform individu wanita selepas terkandas di pusingan kelayakan di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, Datuk Pandelela Rinong kini mengharapkan satu lagi peluang menerusi 10m platform seirama.

Pandelela yang memenangi pingat gangsa Olimpik Rio 2016 dalam acara itu (10 (m) platform individu),  gagal mempamerkan prestasi terbaiknya apabila mengakhiri saingan di kedudukan ke-29 daripada 46 penerjun dan hanya mengumpul keseluruhan 231.15 mata selepas lima terjunan.

Berlangsung di Pusat Akuatik Hamad itu, Pandelela bermula baik apabila mengutip 72 mata pada terjunan pertama untuk berkongsi kedudukan ketiga.

Bagaimanapun, dia gagal mengekalkan momentum itu dan mula bergelut dengan prestasi tidak menentu memasuki terjunan kedua apabila hanya mengutip 39.15 mata diikuti 59.20 mata (ketiga), 38.40 mata (keempat) dan 22.40 mata (kelima) untuk berada di kedudukan ke-29, sekali gus gagal melangkah ke separuh akhir.

Menepati ramalan,  juara dunia yang juga pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 dari China, Chen Yuxi mendominasi saingan pusingan kelayakan hari ini apabila mengumpul keseluruhan 435.20 mata diikuti rakan senegaranya, Quan Hongchan kedua (399.30 mata) manakala atlet Great Britain, Andrea Spendolini Sirieix ketiga (344.00 mata).

Hanya 18 penerjun terbaik daripada pusingan kelayakan mara ke separuh akhir manakala hanya 12 penerjun terbaik daripada kejohanan kali ini, tidak termasuk yang sudah melayakkan diri (15) layak ke Olimpik Paris.

Dalam acara 10m platform berirama yang dijadual Selasa ini,  Pandelela akan bergandingan bersama Nur Dhabitah Sabri dan mereka perlu menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik bagi mengesahkan tiket ke Paris 2024.

Loading...
Terkini