comscore
Tumpuan :
Sukan

Faisal Halim Mahu Lengkap Misi Peribadi Di Stadium Nasional Bukit Jalil

KUALA NERUS: Pemain sayap Terengganu FC (TFC), Faisal Halim bertekad melengkapkan misi peribadinya dengan memenangi Piala FA Sabtu ini.

Pada masa sama, kemenangan itu juga bagi menamatkan penantian 11 tahun skuad Penyu selepas kali terakhir menjulang trofi berprestij itu pada 2011.

Menurut Faisal, penampilan beliau di pentas akhir Piala FA bersama TFC musim ini bukanlah yang pertama, namun lebih manis kerana beliau bakal beraksi sebagai pemain utama.

“Ketika bersama Pahang, dua kali kami layak ke pentas final Piala FA iaitu pada 2017 dan 2018. Tetapi pada waktu itu saya hanya bermain sebagai pemain gantian dan tidak tersenarai.

“Oleh itu saya mahu memanfaatkan peluang pentas akhir bersama TFC untuk mencipta kemenangan demi kepuasan, profil diri dan juga hadiah buat pasukan serta penyokong skuad Penyu,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini hari ini.

Menurut pemain lincah kelahiran Pulau Pinang itu, anak serta isterinya menjadi tulang belakang serta pemberi motivasi utama untuk beliau muncul sebagai antara pemain terbaik negara ketika ini.

Justeru beliau memberi jaminan akan memperagakan persembahan paling bertenaga dalam perjuangan menentang skuad Harimau Selatan yang dianggap sebagai pasukan pilihan.

“Tiada tekanan walaupun kami bakal menentang pasukan nombor satu negara. Dua-dua pasukan punya peluang yang sama. Insya-Allah semua pemain akan beri komitmen 200 peratus. Saya tidak kisah jika tak dapat menjaringkan gol pada perlawanan akhir nanti, yang penting kita menang dan bawa pulang piala yang diidam-idamkan,” katanya.

Katanya lagi, seramai 25 ahli keluarganya akan hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai tanda sokongan dan meraikan pencapaiannya. — BERNAMA

Loading...
Terkini