comscore
Tumpuan :
Sukan

FAM adakan pertemuan bersama wakil penyokong Harimau Malaya

FOTO : NSTP

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengadakan pertemuan bersama wakil penyokong Harimau Malaya bagi membincangkan hasrat mereka memberi sokongan kepada skuad bola sepak kebangsaan di Piala Asia Qatar 2023.

Setiausaha Agungnya Noor Azman Rahman berkata, ketika ini sudah ada wakil daripada penyokong Harimau Malaya menghubungi beliau bagi membincangkan perkara terbabit sekali gus memberi bayangan bahawa skuad kebangsaan akan mendapat sokongan padu daripada peminat bola sepak tanah air.

“Sememangnya ada wakil daripada penyokong Harimau Malaya menghubungi saya dan kita akan mengadakan perjumpaan kelak bagi membincangkan perkara itu.

“Saya tidak boleh maklumkan apa yang akan kita lakukan untuk mereka kerana masih terlalu awal namun berharap penyokong Harimau Malaya dapat mengiringi skuad kebangsaan untuk memberi sokongan di pentas Piala Asia 2023,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan peminat setia Harimau Malaya mula gusar memikirkan perbelanjaan tinggi yang bakal dihadapi jika berhasrat untuk memberi sokongan kepada skuad bola sepak kebangsaan di Piala Asia Qatar 2023.

Rata-rata peminat Harimau Malaya mula membuat tinjauan mengenai perbelanjaan tiket penerbangan mengikut jadual kejohanan yang dikeluarkan iaitu bakal berlangsung dari 12 Januari hingga 10 Februari 2024.

Dianggarkan perbelanjaan merangkumi tiket penerbangan, tiket perlawanan, kos penginapan dan makan boleh mencecah sehingga RM10,000 hingga RM15,000 seorang.

Untuk rekod, Malaysia mara secara merit ke Piala Asia selepas muncul lima naib juara terbaik di peringkat Kelayakan Piala Asia Jun lalu, dengan undian pusingan akhir dijadual pada bulan depan.

Skuad negara dijangka berada dalam balang empat bersama India, Thailand, Hong Kong, Indonesia dan Tajikistan, dengan tiga lagi balang dihuni pasukan-pasukan handalan lain dari Asia Barat, Asia Tengah dan Asia Timur. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini