comscore
Tumpuan :
Sukan

Fandi tabik anak buah saingi JDT

Fandi Ahmad bangga kesungguhan pemainnya beri tentangan hebat kepada JDT di Stadium Darulmakmur, Kuantan semalam sebelum akur dengan kekalahan 0-2.- Foto: Sri Pahang / Facebook

KUANTAN: Meskipun tewas 0-2 di arena sendiri kepada juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim semalam, ketua jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad tetap berbangga dan memuji kesungguhan yang ditampilkan pemainnya.

Legenda bola sepak Singapura itu berkata, tanpa sembilan pemain dan bergantung sepenuhnya kepada pemain simpanan sedia ada, mereka membuktikan komitmen dan disiplin sepanjang 90 minit perlawanan pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Darulmakmur, Kuantan itu.

“Saya dan barisan kejurulatihan berpuas hati dengan persembahan walaupun tewas kerana Sri pahang berdepan dengan pasukan yang jauh lebih baik.

“Cuma saya kesal kerana dua gol, masing-masing satu dibolosi seawal minit keenam dan tiga minit sebelum berakhir separuh masa pertama.

“Namun, saya tetap bangga dengan kesungguhan semua pemain kerana mereka memberikan yang terbaik buat pasukan pada perlawanan terakhir di Stadium Darul Makmur musim ini,” katanya

Pada perlawanan itu, Sri Pahang tidak dapat menyenaraikan dua pemain import, Kevin Ingreso dari Filipina dan Lucas Silva (Brazil) kerana kontrak mereka berakhir pada 30 November lalu.

Selain itu, kapten pasukan, Sergio Aguero, Nur Shamie Iszuan Amin dan Zuhair Aizat Mohd Nazri berdepan masalah kecederaan manakala Fadhli Shas digantung satu perlawanan.

Pada masa sama, tiga pemain pinjaman JDT iaitu Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Syazwan Andik dan Izham Tarmizi Roslan pula tidak boleh disenaraikan.

Loading...
Terkini