comscore
Tumpuan :
Sukan

Habuan lebih RM1 juta menanti atlet para negara

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyambut kepulangan kontinjen para negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. – FOTO: NSTP

SEPANG: Ganjaran wang tunai keseluruhan mencecah lebih RM1 juta menanti pemenang pingat emas pada Sukan Para ASEAN (APG) 2023 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk R. Subramaniam berkata beliau percaya barisan atlet para akan menerima habuan masing-masing selepas berjuang mengharumkan nama Malaysia.

“Ganjaran adalah berdasarkan SHAKAM. Saya pasti kerajaan akan menunaikan apa sahaja yang dijanjikan. Saya tidak melihat ia sebagai masalah walaupun kita memenangi 50 emas,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, hari ini.

Menerusi SHAKAM, pemenang emas acara individu bakal membawa pulang RM20,000 diikuti RM10,000 untuk emas kedua dan seterusnya.

Bagi acara berpasukan yang kurang daripada lima orang masing-masing bakal menerima RM5,000 setiap seorang manakala yang lebih daripada lima orang akan berkongsi RM20,000.

Terdahulu, ketibaan kontinjen negara ke APG 2023 disambut isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta ahli keluarga barisan atlet.

Di kalangan atlet para negara di APG 2023; Abd Halim Mohammad menjadi individu yang akan menerima habuan tertinggi selepas menggondol lima emas menerusi renang.

Malaysia menduduki tempat keempat keseluruhan di APG 2023 apabila mengumpul 50 pingat emas, 38 perak dan 34 gangsa. – BERNAMA

Loading...
Terkini