comscore
Tumpuan :
Sukan

Harimau Malaya bina keyakinan sebelum ke Muscat

Darren Lok meledak dua gol bantu kemenangan 5-1 Harimau Malaya ke atas Nepal dalam aksi pemanas badan di Shah Alam semalam. – FOTO: Ihsan FAM

PETALING JAYA: Kemenangan 5-1 ke atas Nepal pada aksi tertutup di Stadium UiTM Shah Alam malam semalam diharap mampu mengembalikan rentak Harimau Malaya menjelang aksi getir Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman bulan ini.

Perlawanan yang diadakan secara tertutup itu adalah aksi pertama  Harimau Malaya sejak kempen Piala Asia 2023 di Qatar Januari lepas dan juga satu-satunya perlawanan  pemanas badan skuad bimbingan Kim Pan Gon itu setakat ini.

Pada perlawanan yang dijalankan secara empat separuh masa selama 140 minit itu, Malaysia mendahului 4-0 hasil dua gol Darren Lok pada minit ke-31 (penalti) dan minit ke-35, diikuti jaringan Stuart Wilkin dan Daniel Ting masing-masing pada minit ke-46 dan minit ke-48.

Nepal berjaya membolosi gawang negara apabila Sameer Tamang menjaringkan gol tunggal pasukan pada minit ke-68 sebelum Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi melengkapkan kemenangan 5-1 Harimau Malaya pada minit ke-135.

Malaysia di kedudukan ke-132 dunia, dijadual bertemu Oman (ke-80 dunia) di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat pada 21 Mac ini (22 Mac, 2 pagi waktu Malaysia) dan aksi di tempat sendiri di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac.

Aksi seterusnya, Malaysia dijadual bertemu Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun sebelum menamatkan saingan kumpulan menentang Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.

Malaysia kini menerajui saingan Kumpulan D dengan mengumpul enam mata, diikuti Oman kedua yang berkongsi tiga mata bersama Kyrgyzstan di tempat ketiga, manakala Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan mengesahkan tempat ke saingan Piala Asia 2027, sementara dua pasukan terbawah akan beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.

Pasukan negara dijadual berlepas ke Muscat, Oman pagi esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini