comscore
Tumpuan :
Sukan

HOKI: 18 pemain dinamakan bawa misi emas dan Paris 2024

Pasukan lelaki yang membawa cabaran negara di Hangzhou.- Foto: MHC

BUKIT JALIL: Pasukan hoki negara hari ini mengumumkan skuad lengkap 18 pemain lelaki dan wanita yang akan mengambil bahagian di Sukan Asia di Hangzhou.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Datuk Najmi Razak memuktamadkan pemilihan selepas mengambil kira persiapan terkini skuad kebangsaan.

Seramai tujuh pemain yang berada di dalam barisan lelaki dan wanita semasa edisi 2018 di Jakarta – Palembang kekal memperkuat pasukan.

Skuad lelaki yang dibimbing A. Arulselvaraj diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, China, Oman, Thailand dan Indonesia.

“Kami akan memberikan tumpuan dan mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan selain turun dengan satu mentaliti bahawa setiap perlawanan adalah perlawanan akhir,”

18 pemain wanita negara yang dipilih ke Sukan Asia.- Foto: MHC 

“Saya juga menuntut pemain untuk beraksi dengan bijak dan menampilkan satu permainan hoki yang tersusun serta menikmati perlawanan tersebut dengan seronok sebagai satu pasukan.” tambah Arulsevaraj.

Mereka yang tidak terpilih ialah Mohd Fitri Saari, Muhammad Syafiq Hassan dan Muhammad Shahril Saabah kerana mengalami kecederaan manakala Norsyafiq Sumantri, Mohammad Najib Abu Hassan dan Zulpidaus Mizun pula belum cergas sepenuhnya.

Pasukan wanita negara menghadapi tentangan India, Korea Selatan, Hong Kong China dan Singapura dalam Kumpulan A.

Jurulatihnya Mohd Nasihin Nubli Ibrahim mempunyai tenaga baharu iaitu pemain paling muda berusia 19 tahun, Siti Nur Irdina Mohd Nor serta penjaga gol Nur Hazlinda Zainal Abidin.

“Paling utama untuk saya dan barisan kejurulatihan adalah kami mahu melihat sejauh mana perkembangan pasukan ini apabila bertanding bersama pasukan gergasi di Asia,”

“Kami percaya pada kualiti yang dimiliki pasukan dan akan sentiasa memberikan segala-galanya disetiap perlawanan.” jelas Nasihin.

Lima tahun lalu, skuad lelaki mengakhiri kempen dengan pingat perak dan kali ini sasaran utama menaiki podium juara yang menawarkan tiket automatik ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Loading...
Terkini