comscore
Tumpuan :
Sukan

HOKI: Nasihin pilih Perth

BUKIT JALIL: Jurulatih Nasihin Nubli Ibrahim memilih Perth, Australia sebagai destinasi persiapan pasukan sebelum memgambil bahagian dalam temasya Sukan Asia Hangzhou 2022.

Ia menerusi enam aksi persahabatan yang telah diatur menentang pasukan kelab bermula 6 hingga 18 Ogos ini.

Seramai 19 pemain berada dalam senarai untuk ke Perth dan ini termasuklah enam pemain Wanita Remaja Kebangsaan yang bermain di Kejohanan Remaja Asia Mei lalu.

Pengendali Skuad Wanita Kebangsaan, Nasihin Nubli Ibrahim menjelaskan beberapa siri persiapan menjelang Temasya Sukan Asia telah dijalankan oleh pasukannya. Ini termasuk penyertaan Kejohanan Jemputan di China, Temasya Sukan SEA Kemboja 2023 dan perlawanan persahabatan menentang Pasukan Australia Country.

“Siri Jelajah Perlawanan Persahabatan Perth Australia merupakan medan terbaik buat Pasukan Wanita Kebangsaan yang kini dalam fasa persiapan terakhir menjelang Sukan Asia yang akan berlangsung pada bulan depan.

“Perlawanan persahabatan ini juga akan kami gunakan bagi meningkatkan lagi keserasian dikalangan pemain serta ruang untuk pemain lebih memahami taktikal yang diterapkan oleh pasukan.

“Salah satu Pasukan yang akan kami lawan adalah Perth Thundersticks, di mana mereka merupakan pasukan Negeri dan telah menyertai liga tertinggi di Australia. Selain itu pasukan ini turut mempunyai barisan pemain yang berada di dalam skuad latihan kebangsaan Australia serta memiliki bekas pemain kebangsaan senior dan remaja Australia.

“Siri persahabatan ini, saya turut membawa enam pemain remaja yang beraksi di Piala Remaja Asia pada bulan Mei lalu bagi membuka ruang untuk mereka membuktikan bahawa pemain muda mampu untuk meneruskan kesinambungan pola pemain Pasukan Wanita Kebangsaan. Pemain berusia 20 tahun, Anith Humaira akan membuat penampilan pertama bersama Pasukan Kebangsaan,” jelas beliau.

Skuad Wanita Kebangsaan akan berlepas ke Perth Australia pada Ahad (6 Ogos 2023) dan akan memulakan aksi perlawanan persahabatan pertama mereka pada Isnin (7 Ogos 2023).

Loading...
Terkini