comscore
Tumpuan :
Sukan

HOKI: Tiba dari India 4 pagi, jawab ‘exam’ 8.30 pagi

Amirul wakili skuad hoki negara di India. – FOTO: Hokita / Facebook

KUALA LUMPUR: Bergelar seorang atlet dan mahasiswa dalam satu masa sudah tentu bukan tugas mudah untuk mana-mana individu.

Ini kerana mereka sudah tentu perlu mencapai keseimbangan antara belajar dan berlatih bagi memastikan pencapaian akademik dan prestasi mereka tidak terganggu.

Itu antara situasi yang dialami pemain hoki negara Muhammad Amirul Hamizan apabila pemain berusia 23 tahun itu perlu terus menduduki peperiksaan di Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk pengajiannya dalam Ijazah Komunikasi pada jam 8.30 pagi tadi selepas tiba dari bumi India kira-kira jam 4 pagi.

Pujian harus diberikan kepada anak jati Pulau Pinang apabila dia langsung tidak mengabaikan pelajaran meskipun dalam masa sama sibuk dengan skuad negara yang beraksi di Piala Dunia Bhubaneswar-Rourkela 2023.

Untuk rekod, Piala Dunia 2023 merupakan debut pertama Amirul di pentas itu selepas dinaikkan pangkat ke skuad senior pada tahun lalu.

Malah dia sebelum ini juga membantu skuad remaja negara untuk meraih pingat emas di temasya Sukan Olimpik Belia (YOG) pada edisi 2018. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini