comscore
Tumpuan :
Sukan

Olimpik Paris: Inspirasi buat saya tampil aksi cemerlang di Paris – Bertrand 

Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran Nur Shazrin Mohamad Latif pembawa Jalur Gemilang pada upacara perasmian temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

KUALA LUMPUR: Dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan Sukan Olimpik 2024, bukan sekadar satu penghormatan tetapi bagi  penerjun negara Bertrand Rhodict Lises ia memberi inspirasi untuk menampilkan aksi cemerlang di Paris.

Walaupun Bertrand bakal membuat penampilan sulungnya pada temasya sukan terbesar itu, atlet berusia 19 tahun tersebut tekad untuk meraih kedudukan sebaik mungkin dalam acara itu di Pusat Akuatik di Saint Denis.

“Menyasarkan untuk mara ke akhir, memang matlamat saya selama ini, namun sekiranya semua berjalan lancar, saya berharap untuk menamatkan pertandingan pada kedudukan enam terbaik,” katanya.

Pemuda kelahiran Sarawak itu, yang kini menjalani latihan di Australia, berkata berita dirinya menjadi pemegang bendera pada upacara pembukaan itu bukanlah satu kejutan.

Bertrand mengakui beliau berasakan dirinya berkemungkinan menjadi sorotan dan mengetuai kontinjen negara pada perarakan atlet di Paris.

“Sebenarnya boleh djangka, kerana acara terjun antara yang terawal mulakan saingan di Paris,” katanya.

Bertrand menjadi anak Sarawak keempat diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang di pentas Olimpik, selepas atlet olahraga Kuda Ditta (Rome 1960), penerjun Bryan nickson Lomas (Athens 2004) dan ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong di London pada edisi 2012.

Bertrand merupakan atlet negara pertama menempah slot secara merit ke Paris selepas menduduki tempat ke-10 acara 10 meter platform pada Kejohanan Dunia di Fukuoka, Jepun tahun lepas.

Sukan Olimpik 2024 akan berlangsung dari 26 Julai-11 Ogos. Terjun akan bemula pada 27 Julai-10 Ogos.

Majlis pembukaan dijadualkan diadakan di Sungai Seine dan atlet akan menaiki bot menyusuri sungai tersebut.

Semalam, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan Bertrand dan atlet pelayaran Nur Shazrin Mohamad Latif sebagai pembawa panji-panji negara pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini