comscore
Tumpuan :
Sukan

Jangan nanti cakap saya ‘besar kepala’ – Lee Zii Jia

 

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia meluahkan rasa kecewa atas perkembangan isu baharu membabitkan pemain-pemain profesional dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Bekas juara Seluruh England (All England) itu menulis komen balas menerusi hantaran Instagram jurulatihnya, Wong Tat Meng yang mendakwa seperti dibuli ‘orang besar’ apabila BAM tidak membenarkan pakaian jenama sukan selain penaja badan induk itu.

“Jangan nanti cakap saya ‘besar kepala’ tak datang training (berlatih) pulak. Aishhhhh… susah nii nak jadi LZJ semua salah I (saya) pening,” katanya.

Sehingga kini, komen berkenaan menerima 773 tanda suka dan 92 hantaran balas dengan kebanyakannya menyokong tindakan Tat Meng selain menyatakan sokongan kepada Zii Jia.

Sebelum itu, Tat Meng berkata, beliau sangat terkejut dengan peraturan berkenaan apatah lagi ia dikuatkuasakan ketika mereka dalam persiapan menghadapi Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark yang akan berlangsung dari 21 hingga 27 Ogos ini.

Tat Meng dalam hantaran berkenaan berkata, sebelum kejohanan itu, BAM memaklumkan kepada mereka untuk mewajibkan pemain profesional tidak memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja BAM jika ingin menjalankan latihan bersama pada Rabu.

“Saya benar-benar terkejut dengan peraturan ini memandangkan ia dikuat kuasa ketika persiapan menjelang Kejohanan Dunia.

“Sejak Disember tahun lalu, BAM telah menjemput Lee Zii Jia untuk berlatih bersama pemain naungan BAM setiap Rabu dan kami berbesar hati kerana dapat mencapai situasi menang-menang termasuk membantu pemain BAM meningkatkan tahap mereka.

“Konflik penajaan bukan sahaja pertimbangan BAM, begitu juga untuk pasukan kami yang bukan sahaja membabitkan Zii Jia, tetapi barisan jurulatih serta pakar kecergasan dan fisio kami, oleh kerana itu kami tidak dapat memenuhi jemputan latihan ke ABM sebelum terbang ke Denmark.

“Apabila BAM menegaskan perkara ini ketika membuat persiapan untuk pertandingan besar saya secara peribadi berasa seperti dibuli oleh orang besar.

“BAM sering berkata tidak kira pemain kebangsaan mahupun pemain profesional, mereka semua adalah pemain Malaysia, dan kegemilangan dikongsi bersama. Tetapi peraturan ini tidak melambangkan rasa bersama itu,” katanya.

Ketika ini, BAM ditaja oleh syarikat peralatan sukan terkemuka, Yonex manakala Zii Jia menandatangani kontrak penajaan bersama Victor selepas dia meninggalkan badan induk itu untuk bergerak secara profesional awal tahun lalu.

Loading...
Terkini