comscore
Tumpuan :
Sukan

JDT terus lebar mata di puncak, Sabah & Penang naik satu anak tangga

Foto: MFL

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus melebarkan penguasaan di puncak Liga Super 2023 apabila menewaskan Negeri Sembilan FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam ini.

Dua gol Harimau Selatan terhasil pada babak pertama menerusi tandukan pemain pertahanan, Feroz Baharudin pada minit ke-21 dan pemain tengah, Leandro Velazquez seminit sebelum masa rehat.

Bersambung babak kedua, JDT berusaha menambah jaringan namun keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat.

Kejayaan itu menyaksikan JDT berjaya mencatat kemenangan ke-16 berturut-turut sekaligus mengutip 48 mata di puncak liga manakala Negeri Sembilan jatuh di tangga ke-10 dengan 19 mata.

Sementara itu di Stadium Bandaraya, Penang FC kembali merasai nikmat kemenangan selepas menundukkan Kelantan FC 4-3.

Foto: MFL

Ketingggalan pada minit ke-10 menerusi gol pembukaan Harith Akif Shahar, Penang bangkit menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian melalui jaringan Hadin Azman.

Minit ke-30, Hadin sekali lagi mencetak nama selaku penjaring kedua sebelum Rafael Vitor menjadikan kedudukan 3-1, minit ke-41.

Bagaimanapun Kelantan tidak membenarkan Penang memasuki bilik persalinan dengan selesa apabila Natanael Siringo Ringo berjaya merapatkan jurang gol pada masa kecederaan babak pertama.

Sebaik bersambung babak kedua, Kelantan tidak mengambil masa yang lama untuk menyamakan kedudukan melalui Harith Akif.

Ketika hujan semakin lebat membasahi permukaan padang, Alif Ikmalrizal muncul wira Penang apabila menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-84.

Pelawat cuba bangkit selepas itu namun tuan rumah berjaya mempertahankan kedudukan 4-3 sehingga tamat masa permainan.

Tiga mata yang diperolehi Penang menyaksikan skuad kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid itu naik ke tangga kesembilan dengan 19 mata manakala Kelantan kekal tercorot dengan empat mata.

Terdahulu tujuh gol turut terhasil di Stadium Likas ketika Sabah FC menewaskan Kuching City FC 4-3.

Foto: MFL

Sabah mendahului 3-1 hasil jaringan Saddil Ramdani, Ramon Machado dan Stuart Wilkin, manakala Kuching City membalas menerusi Amir Amri Salleh.

Abu Kamara mencatat dua jaringan pada minit ke-67 dan minit ke-86 untuk mengikat kedudukan 3-3, namun penyerang import baharu, Machado sekali lagi mencetak nama selaku penjaring dengan gol kemenangan pada masa kecederaan.

Sabah kini naik ke tangga keempat dengan 30 mata manakala Kuching City kekal di tangga ke-13 dengan enam mata.

Loading...
Terkini