comscore
Tumpuan :
Sukan

Juara All England 2023 jadi mangsa pertama Zii Jia di Terbuka Switzerland

Zii Jia menyingkirkan juara All England 2023 Li Shi Feng dari China 18-21, 21-18 dan 23-21 di pusingan pertama Terbuka Switzerland.

BASEL: Enam lagi wakil negara melepasi halangan pusingan pertama di Terbuka Switzerland diketuai kemaraan perseorangan lelaki Lee Zii Jia yang bangkit dari kekalahan set pertama kepada Li Shi Feng dari China.

Zii Jia yang turun selaku pilihan kedua perseorangan lelaki melalui permainan seimbang di set pertama namun Shi Feng tampak lebih baik sebelum meraih mata kemenangan awal 21-18.

Pemain profesional negara itu kemudian melakar keputusan serupa 21-18 di permainan berikutnya untuk mengheret ke aksi penentuan.

Zii Jia yang mara sehingga peringkat separuh akhir di All England minggu lalu tidak mensia-siakan peluang kedua menerusi kemenangan 23-21 ke atas juara All England itu yang membawanya ke pusingan kedua.

Ng Tze Yong juga serupa, hampir-hampir ditunjukkan jalan keluar oleh rakan senegara Soong Joo Ven sebelum lawannya itu menarik diri di set ketiga akibat kecederaan.

Di St. Jakobshalle, Basel, aksi sengit kejar mengejar mata di set pertama membawa kepada permainan ‘deuce’ yang akhirnya memihak Joo Ven dengan keputusan 25-23.

Tze Yong berjaya memperkemas semula aksinya selepas pertengahan set kedua membolehkan memungut mata penyamaan hasil kemenangan 21-17.

Rubbet set pula menyaksikan Joo Ven mengalami kecederaan hingga jauh ditinggalkan hingga terpaksa menarik diri semasa kedudukan 4-13, membolehkan rakannya itu meneruskan laluan ke peringkat kedua.

Pemain perseorangan wanita Goh Jin Wei bermain menentang Line Højmark Kjaersfeldt dari Denmark.

Permainan awal pemain profesional negara itu kurang memberangsangkan hingga dikalahkan 12-21.

Jin Wei kemudian beraksi lebih kental di permainan berikutnya sehingga mencatat keputusan 21-17.

Kjaersfeldt terus membuat banyak kesilapan dan gagal menggugat Jin Wei selepas itu sekaligus kemaraan buat pemain negara hasil kemenangan 21-13.

Beregu campuran Chen Tang Jie/ Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat/ Shevon Lai serta pemain perseorangan lelaki Cheam June Wei merupakan tiga lagi wakil negara yang menewaskan lawan masing-masing di pusingan pertama.

Loading...
Terkini