comscore
Tumpuan :
Nasional

Sabah optimis ulangi pencapaian tempat ketiga

FOTO: Sabah FC/ Facebook

KOTA KINABALU: Kekalahan kepada PSM Makassar dalam aksi akhir Piala AFC Kumpulan H semalam tidak sesekali menjejaskan tumpuan Sabah FC menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Likas Ahad ini, dalam perhitungan merebut tempat ketiga Liga Super musim ini.

Menurut pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, walaupun prestasi pasukannya dilihat merosot, selepas tewas malam tadi, ia tidak sama dengan saingan Liga Super dan pemain Sabah perlu belajar daripada kesilapan yang berlaku, lebih-lebih lagi apabila bermain di gelanggang sendiri.

Kim Swee mengakui perlawanan akhir Liga Super itu di halaman sendiri itu sangat penting kepada Sabah dalam usaha menyamakan kedudukan yang dicapai pasukan berkenaan pada musim lalu.

Jelasnya, perlawanan itu bakal menjadi penentu sama ada Sabah yang ketika ini berada di kedudukan keempat mampu mengambil alih kedudukan itu daripada seterunya, Kedah.

“Bermain di tempat sendiri terutama pada perlawanan terakhir Liga Super amat penting di mana ia akan menentukan sama ada kita berjaya mendapatkan tempat ketiga seperti mana kita capai pada musim lalu.

“Saya percaya kita boleh bangkit selepas ini,” katanya.

Berbaki satu perlawanan, Sabah mengumpul 51 mata, hanya ketinggalan dua mata di belakang Kedah untuk merebut kedudukan di tempat ketiga Liga Super 2023.

Jika memenangi perlawanan akhir Ahad, ini Sabah bakal menambah tiga mata untuk mengumpul 54 mata, sekali gus memintas Kedah bagi meletakkan Sang Badak kembali ke kedudukan ketiga seperti musim lalu.

Loading...
Terkini