comscore
Tumpuan :
Sukan

Kejutan Universiti Malaysia singkir PDRM 

Pemain Universiti Malaysia meraikan jaringan pada pertemuan menentang PDRM di Stadium Perbandaran Selayang pada aksi pusingan pertama Piala FA malam ini. FOTO: MFL

KUALA LUMPUR: Pasukan Liga A1, Universiti Malaysia mencipta kejutan mara ke suku akhir Piala FA 2024 apabila menundukkan kelab Liga Super PDRM 3-0 pada pusingan pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini.

Tanpa menurunkan pemain import, PDRM yang beraksi di arena sendiri tersentak dengan jaringan awal Universiti Malaysia pada minit ke-4 menerusi rembatan deras Mohd Syahir Abdul Rahman.

Empat minit berselang, pintu gol PDRM yang dikawal Asri Muhammad bolos lagi, kali ini hasil serangan balas pantas yang disudahkan Muhammad Hadi Mohamad.

Selesa mendahului 2-0 pada sepuluh minit pertama, Muhammad Hadi hampir menambah gol ketiga Universiti Malaysia pada minit ke-16 namun percubaannya tertampan tiang.

Masuk babak kedua, PDRM cuba bangkit memaksa Universiti Malaysia lebih banyak bertahan menyerap asakan lawan.

Serangan bertali arus PDRM hampir merapatkan kedudukan bagaimanapun Shafizi Iqmal Md Khirudin hampa apabila sepakan percumanya terkena palang.

Ketika PDRM ghairah menyerang, Universiti Malaysia akhirnya menamatkan sisa perjuangan PDRM dengan gol ketiga pada lewat permainan hasil jaringan Muhammad Zharif Nazhan Refli.

Kemenangan itu menyaksikan Universiti Malaysia bakal berdepan  juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) atau Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada suku akhir.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini