comscore
Tumpuan :
Sukan

Kekasih Ronaldo persoal strategi Santos

FOTO: REUTERS

DOHA: Pasangan Cristiano Ronaldo, Georgina Rodriguez menyelar pengendali Portugal, Fernando Santos selepas tidak menurunkan bintang itu dalam kesebelasan utama pada suku akhir Piala Dunia berdepan Maghribi.

Ronaldo diletakkan di bangku simpanan pada aksi pusingan 16 terbaik menentang Switzerland dan penggantinya, Goncalo Ramos meledak hatrik sekali gus membuatkan Santos memilih pemain itu untuk berdepan Maghribi, malam tadi.

Percaturan itu tidak menjadi apabila Portugal gagal merobek gawang Maghribi dan tersingkir menerusi gol tunggal Youssef En-Nesyri pada babak pertama.

Ronaldo dimasukkan pada babak kedua namun gagal membantu mengubah nasib pasukannya dan Rodriguez menyalahkan Santos kerana terlalu lambat membuat pertukaran.

Bersama gambar Ronaldo, Rodriguez menulis di Instagram ‘keputusan kawan anda dan jurulatih adalah salah pada hari ini. Terhadap kawan anda yang sangat dikagumi dan dihormati.

“Orang sama yang membawa anda dalam permainan, yang melihat bagaimana semuanya berubah tetapi sudah terlalu lambat. Anda tidak boleh memandang rendah pemain terbaik dunia, senjata paling hebat.

Anda juga tidak boleh menyokong seseorang yang tidak layak mendapatkannya. Hidup memberi kita pengajaran. Hari ini kita tidak tewas, kita belajar sesuatu daripadanya,” ciapnya.

Rodriguez percaya Ronaldo mampu memberi impak positif daripada bangku simpanan namun dia hanya menyentuh bola sebanyak 10 kali dan melakukan satu percubaan yang diselamatkan penjaga gol Maghribi, Bono.

Kakak Ronaldo, Elma Aveiro turut menyatakan pandangannya apabila mengharapkan pemain Portugal sentiasa memandang ke depan susulan kekalahan itu.

“Sedih untuk pasukan tetapi ini masanya untuk memandang ke depan dan melupakan apa yang terjadi. Tuhan mengetahui segalanya.” tulisnya dalam Instagram.

Aveiro turut berkongsi hantaran di Instagramnya dengan tanda pagar #SantosOut dengan dia berasakan sudah tibanya Santos mengundur diri. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini