comscore
Tumpuan :
Sukan

Kualiti padang SNBJ jadi persoalan

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon. – FOTO: Ihsan FAM

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon mengakui belum melihat keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, namun berharap permukaan padang itu berada dalam keadaan terbaik bagi mengharungi aksi penting menentang Oman, malam esok.

“Mengenai padang (Stadium Nasional), saya belum lihat lagi. ‘Technicians’ (kontraktor) janji akan bagi padang yang terbaik pada hari perlawanan.

“Jadi kami perlukan padang yang baik, harap esok kami dapat lihat padang yang bagus,” katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Pengendali dari Korea Selatan itu menjelaskan, kontraktor sebelum ini berjanji akan menyediakan padang terbaik bagi perlawanan keempat Kumpulan D kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Sebelum ini, Pan Gon menyatakan rasa tidak puas hati dengan padang Stadium Nasional, namun beliau meletakkan kepercayaan terhadap kontraktor yang berjanji padang terbabit akan berada dalam keadaan baik sebelum aksi menentang Oman.

Persoalan mengenai kesediaan Stadium Nasional untuk aksi menentang Oman sudah dibangkitkan sebelum ini susulan penganjuran konsert Ed Sheeran, bulan lalu.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 8 Mac lalu bagaimanapun memutuskan pemilihan Stadium Nasional untuk aksi terbabit selepas melakukan lawatan ke gelanggang itu dan mendapat jaminan daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Sementara itu, ketua jurulatih Oman, Jaroslav Silhavy menjelaskan bahawa pihaknya sudah sedia maklum mengenai keadaan padang Stadium Nasional yang kurang baik.

“Malangnya, kami menerima makluman mengenai cuaca di Malaysia yang kerap hujan dan (padang) tidak akan bersedia dengan baik untuk perlawanan itu.

“Pemain mengetahuinya dan akan bersedia dari segi fizikal, taktikal dan psikologi. Kami tahu ia (padang) tidak bagus dan kami tidak akan berlatih di sana,” kata Silhavy.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini