comscore
Tumpuan :
Sukan

Kuching City akan bangkit – Aidil 

Aksi perlawanan PDRM FC (biru) menentang Kuching City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi yang menyaksikan PDRM menang 3-0. – Foto: MFL

PETALING JAYA: Ketinggalan tiga gol pasti sesuatu yang sukar apatah lagi perlawanan yang bakal menentukan kejuaraan.

Itu situasi yang dihadapi Kuching FC menjelang perlawanan final kedua Piala Cabaran Ahad ini selepas tewas 0-3 kepada PDRM FC pada aksi final pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi.

Namun bagi ketua jurulatih Kuching City,  Aidil Sharin Sahak, beliau  tetap memandang keputusan perlawanan sebagai satu perkara yang positif untuk mereka kembali bangkit dalam perlawanan akhir kedua nanti

“Tahniah kepada PDRM kerana berjaya mendahului perlawanan hari ini (semalam) dan saya percaya pada aksi kedua di laman sendiri nanti, pasti masih ada peluang untuk kita merebut semula jaringan.

“Kita hanya perlu lebih bekerja keras dan fokus untuk memberi segala-galanya dalam aksi seterusnya ini,” kata Aidil selepas perlawanan malam tadi.

Sementara itu, pengendali PDRM, Datuk Yunus Alif memberi amaran buat anak didiknya agar tidak terbuai-buai di atas kemenangan 3-0 pada aksi final pertama.

“Kita belum juara, ingat! Kita masih ada 90 minit di Kuching dan tidak boleh mengambil mudah terhadap perlawanan akhir kedua kelak kerana dalam bola sepak, pelbagai situasi boleh berlaku.

“Masih ada kekurangan dari pihak PDRM yang perlu dibaiki lagi walaupun kita menang dalam pertembungan malam ini (tadi). Kita akan memperhalusi setiap gandingan antara pemain yang beraksi di padang,” kata Yunus.

Dalam aksi  malam tadi kemenangan 3-0 PDRM hasil jaringan  Nabil Latpi, Uche Agba dan  Amir Saiful, masing-masing pada minit 54, 69 dan 78.

Loading...
Terkini